Jumaat, 3 Disember 2010

KDN ada maklumat mengenai firma yang didedahkan oleh WikiLeaks

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai maklumat mengenai dua firma Malaysia yang terlibat dengan rangkaian yang dikawal oleh Iran untuk membeli teknologi peluru berpandu dari China tetapi tidak boleh diumumkan sehingga mendapat pengesahan.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kes itu masih baru lagi dan KDN akan mengambil pendekatan terbaik kerana ia melibatkan keselamatan dalam negara iaitu mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk agensi-agensi perisikan dari luar negara yang mempunyai hubungan yang baik dengan KDN.

“Setakat ini saya belum terima laporan terkini mengenai dua firma berkenaan, saya akan mengadakan perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada masa terdekat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Hishammudin berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar semalam yang memetik Wikileaks sebagai berkata Amerika Syarikat menamakan dua firma Malaysia terlibat dengan rangkaian yang dikawal oleh Iran untuk membeli teknologi peluru berpandu dari China.

Wikileaks adalah sebuah laman web yang memberi maklumat dalam pelbagai perkara termasuk yang diklasifikasikan sulit dan rahsia besar sesebuah negara atau organisasi.

Hishammudin berkata KDN tidak boleh bekerja secara bersendirian untuk menangani kes melibatkan dua firma itu, dan oleh itu KDN akan turut meminta kerjasama beberapa pihak seperti Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang terletak di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, dan Wisma Putra.

“Sebelum kita (KDN) membuat sebarang kenyataan dan pendirian, kita perlu mengambil kira hubungan dua hala antara Malaysia dan negara-negara yang terbabit dalam kes ini kerana isu keamanan dan keselamatan negara,” katanya.

Beliau juga berkata, KDN telah meminta PDRM untuk menimbang mewujudkan satu unit jurucakap khas untuk memberi maklumat kepada media dan orang ramai dalam kes-kes berprofil tinggi.

“Penubuhan jurucakap khas ini merupakan satu unit tambahan kepada pusat Pusat Media dan Facebook PDRM yang dilancarkan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 21 September lepas.

“Penubuhan jurucakap khas ini diwujudkan untuk memastikan siasatan itu dijalankan secara telus, ia tidak menjejaskan siasatan,” katanya, sambil menambah bahawa Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar akan mengetuai dan mengawal selia unit jurucakap khas tersebut.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun kementerian itu mempunyai sistem kawalan keselamatan data pertahanan negara yang ketat, namun masih ada lagi sesetengah pihak yang cuba menceroboh dan membocorkan rahsia itu kepada umum.

Katanya, sejak penubuhan kementerian itu, ada penggodam yang sentiasa mencari jalan untuk menembusi sistem keselamatan itu bagi kepentingan tertentu.

“Kita sentiasa meneliti jika maklumat-maklumat pertahanan negara terkeluar dari simpanan.

“Ini kerana saya fikir tidak ada mana-mana pemimpin bersetuju jika maklumat pertahanan keselamatan keluar sebagai satu dokumen yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya kepada pemberita selepas menutup Majlis Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Wikileaks yang mendedahkan maklumat-maklumat diklasifikasikan sebagai sulit negara atau organisasi kepada umum.

Dalam reaksinya, Ahmad Zahid berkata kementeriannya akan melakukan penyiasatan terperinci terhadap laporan itu dengan kerjasama Kementerian Luar bagi meneliti aspek undang-undang yang boleh dilakukan dan diambil bagi menghentikan aktiviti itu dijalankan.

“Seperti apa yang Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kata semalam, kita akan siasat kesahihannya.

“Jika ianya melibatkan mana-mana syarikat yang didaftarkan di dalam Majlis Industri Pertahanan, Keselamatan dan Penguatkuasaan, kita akan lakukan langkah-langkah tertentu supaya tidak langgar piagam dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Menurutnya, pihaknya sentiasa memantau mana-mana aktiviti dalam dan luar negara yang dilihat membahayakan keselamatan dari segi pendedahan maklumat atau kebocoran dokumen sulit pertahanan negara.

Tiada ulasan: