Rabu, 1 Disember 2010

Golongan profesional tak beretika cuba pengaruhi peneroka FELDA: Muhyiddin

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin, menasihatkan peneroka FELDA supaya tidak terpengaruh hasutan pihak tertentu termasuk golongan profesional tidak beretika yang cuba mengambil kesempatan untuk tujuan politik dan meraih keuntungan.

"Mereka ini menghasut peneroka dengan alasan tertentu dan akhirnya menggunakan peneroka untuk mengheret Felda ke mahkamah...contohnya tindakan saman yang diambil oleh segelintir masyarakat peneroka tidak menguntungkan sesiapa.

"Malah nama baik peneroka sendiri turut terjejas," kata Timbalan Perdana Menteri pada majlis Semai Bakti Felda 2010 di Dewan Perdana Felda di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi FELDA, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan Pengarah Besar FELDA, Datuk Dzulkifli Abd Wahab.

Muhyiddin berkata, bahawa sejak kebelakangan ini, banyak isu ditimbulkan oleh pihak-pihak berkepentingan dengan tujuan mengelirukan dan memecahbelahkan perpaduan masyarakat.

"Pihak yang tidak bertanggungjawab ini mempunyai agenda politik yang sempit dan bertujuan untuk menjatuhkan imej kerajaan," katanya.

Muhyiddin berkata, FELDA adalah sebuah organisasi besar yang telah menabur bakti kepada rakyat dan pembangunan negara di mana kejayaan yang dicapai telah memberi kesejahteraan hidup kepada semua dua juta peneroka di seluruh negara.

"Ukuran kejayaan Felda dapat dilihat dengan peningkatan paras pendapatan peneroka, taraf penghidupan yang lebih baik, rumah kediaman yang selesa dan kemudahan infrastruktur yang disediakan," katanya.

Menurutnya, secara purata, peneroka yang mengusahakan tanaman kelapa sawit ketika ini memperoleh RM3,814 sebulan dan penoreh getah pula RM3,856 sebulan selain diberi hak milik lot kediaman dan lot pertanian.

"Bagaimanapun, Felda tidak harus leka dengan kejayaan yang dicapai lebih-lebih lagi dalam keadaan persekitaran yang begitu dinamik dan serba canggih yang memerlukan pendekatan baru. Inovasi dan teknologi moden adalah ukuran yang boleh meningkatkan pendapatan peneroka ke paras lebih baik," kata Muhyiddin.

Beliau meminta peneroka supaya memberi tumpuan kepada usaha menambah pendapatan mereka demi menikmati taraf kehidupan lebih baik.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan pingat Semai Bakti kepada 16 pegawai dan Anugerah Pengurus Terbaik kepada lima pegawai Kumpulan Felda kerana perkhidmatan cemerlang mereka.

Bagi Anugerah Pengurus Terbaik, setiap penerima mendapat hadiah dalam bentuk saham Koperasi Permodalan Felda bernilai RM5,000.

11 ulasan:

Mohd Ishak berkata...

Peneroka Felda perlulah berwaspada dan tidak senang mempercayai orang lain.

tombolo berkata...

pelbagai kemudahan teleh diberikan kepada peneroka FELDA, mereka harus menghargainya dan jgn mudah terpengaruh dgn hasutan pihak tertentu.

zam berkata...

peneroka perlu bijak dalam menilai sesuatu pekara. jangan mudah terpengaruh dengan pihak-pihak lain yang sengaja mengambil kesempatan.

Tanpa Nama berkata...

kejayaan Felda mengeluarkan rakyat daripada arus kemiskinan terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila ditawarkan bekerjasama untuk membuat penerokaan tanah di negara Laos. ini adalah bukti bahawa Felda berjaya mencapai misinya. kejayaan Felda ini sudah tentu dicemburui oleh pihak lain terutamanya ahli politik pembangkang yang terus berusaha menjatuhkan Felda sekaligus berhasrat mahu melihat rakyat miskin semula.

Tanpa Nama berkata...

saya harap penubuhan Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (BAPAK) boleh berfungsi untuk membantu menjelaskan dan menyelesaikan sesuatu isu itu dengan lebih cepat dan cekap bagi mengelakkan peneroka dari terus diperbodohkan oleh pihak2 yang tidak bertanggungjawab..

gambir berkata...

orang-orang felda peneroka tu memang mudah terpengaruh...so pandai-pandai BN jaga kubu sendiri

gambir berkata...

orang-orang Felda tidak mungkin jadi seperti kacang lupakan kulit..

Paquin berkata...

Bukan setakat peneroka FELDA, rakyat Malaysia pun jgn mudah terpengaruh dengan pihak yang berniat jahat utk menjatuhkan BN.

Paquin berkata...

Kejayaan felda mmg perkara yg boleh dibanggakan. Jadi saya harap felda akan terus mengekalkan kejayaan mereka ke tahap yang lebih cemerlang.

Sanih Alias berkata...

Saya rasa memang betul juga kata TPM ini. Ada sesetengah pihak yang cuba untuk menjadikan isu felda ini untuk kepentingan mereka sendiri. Oleh itu, yang terbaik para felda jangan terpedaya dengan semua itu.

Antanum berkata...

Jika anda tergolong dalam level profesional adalah sukar untuk mempercayainya tidak beretika. Setahu saya golongan profesional adalah lebih matang dalam segala hal.