Rabu, 15 Disember 2010

Gantung Anwar enam bulan tak ‘cukup berat’, kata anggota panel


KUALA LUMPUR – Beberapa anggota Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dari Barisan Nasional (BN) merasakan hukuman gantung enam bulan yang disyorkan panel itu tidak setimpal dengan keseriusan kesalahan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu APCO-Israel-gagasan 1 Malaysia.

Dua anggota berkenaan iaitu Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim dan Ahli Parlimen Alor Gajah Tan Sri Dr Fong Chan Onn menyokong syor hukuman gantung selama enam bulan tetapi berkata kenyataan Anwar (gambar) mengaitkan gagasan 1 Malaysia yang dibawa Datuk Seri Najib Razak dengan One Israel telah menjejaskan imej negara.

Menurut minit mesyuarat jawatankuasa itu yang dibentangkan di Parlimen hari ini, Razali dipetik berkata, beliau pastinya menyokong hukuman lebih berat jika keputusan dibuat lebih awal.

“Saya merasakan bahawa walaupun kita merasakan ini satu dakwaan yang sangat besar dibuat di Dewan (Rakyat) di atas hak yang diberikan, tetapi mengikut ‘precedent’ yang biasa kita buat dan tempoh masa yang kiat ambil, mungkin agak panjang dan isu ini mungkin tidak lagi berat.

“Jika dibuat awal hari itu, mungkin saya merasakan enam bulan ini tidak memadai sebab ketika dibuat itu, pada saya ia tuduhan yang sangat berat sehingga boleh menjejaskan pandangan masyarakat yang boleh menjejasjan gagasan 1 Malaysia pun ketika itu jika masih ingat.

“Akan tetapi, saya bersetuju dengan usul yang dibuat oleh Yang Berhormat Beluran kerana tempoh masa dan pertimbangan yang saya nyatakan tadi untuk kita syorkan kepada Majlis iaitu penggantungan Yang Berhormat Permatang Pauh selama tempoh enam bulan,” kata beliau.

Fong pula dipetik berkata, “saya bersetuju.”

“Saya rasa sungguhpun isu ini dan tuduhan ini amat serius dengan bukti-bukti tertuduh Yang Berhormat Permatang Pauh membuat tuduhan tersebut telah menjejaskan imej negara kita.

“... saya rasa walaupun sepatutnya lebih berat daripada enam bulan, tetapi saya rasa sebagai hukuman, enam bulan cukuplah,” katanya.

Dalam laporan yang dibentangkan di Parlimen hari ini, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengesyorkan agar Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan ekoran dakwaannya mengaitkan konsep “1 Malaysia” dengan “One Israel”.

Satu usul dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz untuk membahaskan syor berkenaan di Dewan Rakyat, dan telah tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini.

Usul itu dijangka dibahaskan oleh anggota Dewan Rakyat lusa yang akan memutuskan sama ada syor yang dikemukakan oleh jawatankuasa itu diterima atau sebaliknya.

Nazri pada 22 April lepas telah mengemukakan usul untuk merujuk Anwar pada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ekoran kenyataan yang dibuatnya itu yang mengaitkan firma perhubungan awam APCO Worldwide yang dilantik oleh kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, jawatankuasa bersetuju bahawa dakwaan wakil rakyat Permatang Pauh itu adalah tidak benar.

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang dianggotai oleh Pandikar Amin, Timbalan Yang diPertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R. Sivarasa (PKR-Subang), Nancy Shukri (BN-Batang Sadong), Tan Sri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) dan Datuk Razali Ibrahim (BN-Muar) yang dipertanggungjawab untuk membincangkan isu dakwaan Anwar terhadap APCO itu.

Karpal dan Sivarasa bagaimanapun menarik diri daripada keanggotaan jawatankuasa itu setelah kalah dalam undi belah bahagi dalam jawatankuasa itu untuk meneruskan pertimbangan kes tersebut berdasarkan surat penjelasan daripada APCO dan Hansard Dewan Rakyat.

1 ulasan:

orangkampong berkata...

Cakap bolehlaaaaah !... Kalau dah kena batang hidung sendiri , baru tau !.

Ramai rakyat yang cakap parlimen sekarang ni teruk betul berbanding tahun 60an dan 70 an dulu....

Tak percaya tenguk saja sessi perbahasannya !