Syor itu dibawa oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dalam laporannya yang dibentangkan di Parlimen hari ini.
Laporan itu akan dibahaskan Khamis ini — hari terakhir sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sekarang.
Laporan itu dibentangkan hari ini memandangkan notis dua hari diperlukan bagi membentangkan usul berkaitan.
Selain itu jawatankuasa tersebut juga akan mengesyorkan agar satu “teguran” dikenakan ke atas Pengerusi DAP Karpal Singh berhubung kenyataan menghina pengerusi panel berkenaan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang juga Speaker Dewan Rakyat.
Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor merupakan salah seorang daripada dua wakil rakyat Pakatan Rakyat yang menganggotai jawatankuasa itu, yang mendengar kes Anwar.
Jawatankuasa itu tidak mengambil keterangan Anwar, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Satu usul dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz untuk membahaskan syor berkenaan di Dewan Rakyat, dan telah tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini.
Usul itu dijangka dibahaskan oleh Dewan Rakyat, yang akan memutuskan sama ada syor yang dikemukakan oleh jawatankuasa itu diterima atau sebaliknya.
Nazri pada 22 April lepas telah mengemukakan usul untuk merujuk Anwar pada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ekoran kenyataan yang dibuatnya itu yang mengaitkan firma perhubungan awam APCO Worldwide yang dilantik oleh kerajaan.
Pandikar berkata, jawatankuasa bersetuju bahawa dakwaan wakil rakyat Permatang Pauh itu adalah tidak benar.
“Beliau telah menyalahi hak dan keistimewaan sebagai ahli Parlimen. Oleh yang demikian jawatankuasa memutuskan dan bersetuju Yang Berhormat Permatang Pauh hendaklah digantung tugas daripada jawatannya sebagai ahli Parlimen selama enam bulan,” katanya dalam laporan jawatankuasa berkenaan.
Menurut laporan itu, jawatankuasa berkenaan juga amat memandang berat tindakan Karpal yang secara berterusan membuat pelbagai dakwaan menghina terhadap Pengerusi Jawatankuasa itu.
“Jawatankuasa turut melahirkan kekesalan terhadap kelakuan Yang Berhormat Bukit Gelugor yang tidak menghormati dan memperkecilkan sesama ahli jawatankuasa lain,” katanya.
Bagi memastikan perkara seumpamanya tidak berlaku lagi di masa akan datang, Jawatankuasa turut mengesyorkan supaya dikenakan pencelaan kepada Karpal.
Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang dianggotai oleh Pandikar Amin, Timbalan Yang diPertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee, Karpal, R. Sivarasa (PKR-Subang), Nancy Shukri (BN-Batang Sadong), Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) dan Datuk Razali Ibrahim (BN-Muar) yang dipertanggungjawab untuk membincangkan isu dakwaan Anwar terhadap APCO itu.
Karpal dan Sivarasa bagaimanapun menarik diri daripada keanggotaan jawatankuasa itu setelah kalah dalam undi belah bahagi dalam jawatankuasa itu untuk meneruskan pertimbangan kes tersebut berdasarkan surat penjelasan daripada APCO dan handsard Dewan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan