Sabtu, 11 Disember 2010

AG campur tangan kes "mata lebam" Anwar

FREE MALAYSIA TODAY

abdul ghani anwar ibrahim2PETALING JAYA: Bekas pegawai penyiasat kanan hari ini berpendirian tegas berhubung dakwaannya baru-baru ini bahawa Peguam Negara (AG) Abdul Gani Patail memalsukan bukti dalam siasatan kejadian "mata lebam" bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim pada 1998.

Mat Zain Ibrahim, ketika itu pegawai penyiasat ketika Anwar berada dalam tahan polis 12 tahun lalu, menulis surat terbuka kedua kepada Ketua Polis Negara Ismail Omar hari ini dan merayu supaya kes itu dibuka semula.

Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein berkata, tidak ada kes pemalsuan bukti dalam siasatan kejadian "mata lebam" Anwar 12 tahun lalu sebagai respon terhadap soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Ipoh Timor Lim Kit Siang di Dewan Rakyat semalam.

"Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah menjalankan pemeriksaan terhadap siasatan melibatkan Anwar dalam kes "mata lebam" pada 1998.

Tidak ada tanda-tanda bahawa berlakunya pemalsuan bukti dalam penyiasatan itu," kata Hishammuddin.

Beliau yang tidak yakin dengan kenyataan Hishammuddin itu berkata, kenyataan seperti ini bercanggah dengan pendirian pasukan polis apabila berdepan dengan kes ini pada ketika itu, di mana beliau mendakwa sebagai satu percubaan untuk "melindungi beberapa individu."

"Saya mohon maaf untuk menyatakan bahawa polis telah berikrar untuk menjalankan siasatan tanpa perasaan takut dan pilih kasih, tidak akan menyembunyikan apa-apa dan "menyelesaikannya secepat mungkin" dan tidak akan melindungi sesiapa."

"Tapi kali ini kelihatan seolah-olah ada percubaan untuk melindungi beberapa individu tertentu," katanya.

Kertas siasatan "hilang"

Bagaimanapun, Mat Zain berpendirian terbuka dengan mengharapkan bahawa jawapan-jawapan di atas adalah terhad memandangkan kekurangan bahan rujukan yang sepatutnya dimasukkan dalam kertas siasatan kes "mata lebam".

Beliau mendedahkan bahawa beberapa dokumen penting dalam kertas siasatan itu "hilang" ketika berada dalam tangan Peguam Negara, yang terpaksa digantikan dengan membuat salinan.

"Malahan keseluruhan kertas siasatan "hilang" untuk selama tiga minggu di antara 30 Oktober dan 20 November 1998 seperti yang saya terangkan (dalam surat saya yang lalu).

"Saya tidak terperanjat jika dokomen itu tidak lengkap memandangkan ia telah lama disimpan di pejabat Peguam Negara," katanya.

Mat Zain juga hairan kenapa dan bagaimana laporan perubatan "yang dipalsukan", yang disediakan oleh Dr Abdul Rahman Yusof boleh hilang apabila dua dari tiga dokumen telah digunakan oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja pada 1999.

"Malahan, dua dari tiga laporan telah dikemukakan dan diambil kira dalam prosiding untuk menyiasat insiden "mata lebam" pada 1999 dan laporan Suruhanjaya dibuka untuk tatapan umum," katanya.

Beliau berkata dokumen itu bukannya satu atau dua halaman yang boleh dilupakan begitu saja kerana laporan ini mengandungi 65 halaman kesemuanya.

"Saya percaya Tan Sri masih ingat, apabila sepucuk surat bertarikh 21 September 1953 yang ditandatangani oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri menjadi sebab utama maruah dan kedaulatan negara tercemar apabila kita terpaksa menyerahkan Pulau Batu Putih (Pedra Branca) kepada Singapura.

"Cuba bayangkan apa yang dokumen setebal 65 halaman yang dipalsukan di bawah arahan Peguam Negara boleh lakukan kepada Sistem Keadilan Jenayah," katanya.

Pemalsuan dilakukan dengan sengaja

Beliau menegaskan bahawa pemalsuan dilakukan dengan "sengaja". "Saya percaya Tan Sri biasa dengan kes-kes yang melibatkan pemalsuan bahawa apa-apa bentuk penipuan dilakukan dengan "sengaja" dan tidak ada penipuan yang dibuat secara kebetulan.

"Saya ingin menjelaskan bahawa ketiga-tiga laporan perubatan palsu itu dibuat dengan perancangan yang teratur dan dilaksanakan bagi memenuhi matlamat mereka.

"Diari siasatan saya dan minit-minit didalamnya boleh membantu bagi mengenal pasti perjalanan peristiwa mengenai tarikh pemalsuannya," kata Mat Zain.

Untuk mengelak dari dituduh sebagai berat sebelah, Mat Zain kemudian mengaitkan dengan prosiding di antara 22 Februari dan 4 Mac 1999 di mana kedua-dua Abdul Gani dan bekas Peguam Negara Allahyarham Mohtar Abdullah secara berasingan memberitahu Dr Rahman untuk menyediakan dua laporan perubatan pertama "yang dipalsukan".

"Saya mendapat tahu bahawa penemuan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja membuat Mohtar panik. Beliau tidak tahu bahawa Abdul Gani telah pun memberitahu Dr Rahman untuk menyediakan laporan itu lebih awal.

Menurut beliau, Mohtar tidak sedar mengenai latar belakang Dr Rahman kerana berkemungkinan beliau tidak akan menyuruhnya menyediakan laporan itu jika beliau sedar bahawa Abdul Gani telah meminta beliau berbuat demikian memandangkan sebarang penipuan dengan mudah dapat dikesan kerana pasukan siasatan memerhatikannya dengan dekat.

"Saya kemudian mendapat tahu Abdul Gani terlibat untuk menetapkan situasi itu. Apa yang saya boleh sahkan ialah, Dr Rahman sendiri meminta, malah merayu, pembantu-pembantu saya meminta kerjasama saya untuk memasukkan laporan ketiga untuk menafikan dua laporan awal, di mana saya menolaknya," dakwa beliau.

Bagaimanapun, Mat Zain berkata, apabila penemuan Suruhanjaya dicetak dan dipersembahkan kepada Yang DiPertuan Agong dan kemudian diisytiharkan sebagai dokumen awam, di dapati hanya laporan kedua sahaja yang dimasukkan.

Tiada orang lain berkepentingan, kecuali Abdul Gani

"Supaya adil kepada Abdul Gani, saya tidak mempunyai maklumat untuk mengatakan beliau terlibat hingga menyebabkan laporan itu dibuang dari dokumen.

Bagaimanapun, saya tidak terperanjat jika beliau terlibat kerana tidak ada orang lain yang mempunyai kepentingan dalam kes ini.

Namun, saya tidak bimbang mengenai dokumen yang hilang kerana sesalinannya berada dalam simpanan saya jelas dan lengkap," katanya.

Mengakhir tujuh halaman suratnya, Mat Zain bagaimanapun berkata beliau akan menyerahkan perkara ini kepada budi bicara Ketua Polis Negara (IGP), "untuk membuat keputusan terbaik untuk polis supaya adil kepada semua pihak.

"Bagaimanapun, adalah menjadi hak saya, sama ada untuk meneruskan atau memberhentikan kes ini," katanya.

Adalah dilaporkan baru-baru ini bahawa kerajaan dijangka membuat keputusan minggu depan sama ada dakwaan Mat Zain itu memerlukan siasatan pusingan kedua.

Dua tahun lalu, Anwar memfailkan laporan polis mendakwa Abdul Gani, Mat Zain, bekas IGP Musa Hassan (pegawai penyiasat pada ketika itu) dan Dr Rahman memalsukan laporan perubatannya.

Berikutan siasatan oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja pada 1999, Rahim Noor, IGP pada ketika itu, mengakui beliau membelasah Anwar.

Beliau didapati bersalah dan dihukum dua bulan penjara dan denda sebanyak RM2,000.

Tiada ulasan: