600 projek Kampung WiFi untuk Sarawak tahun depan: Salang
MIRI – Sebanyak 600 kampung di Sarawak dan 500 di Sabah akan dibekalkan perkhidmatan melayari Internet tanpa wayar secara percuma melalui program ''Kampung WiFi'' tahun depan.
Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum berkata program tersebut akan dilaksanakan melalui dana pembiayaan di bawah Pembekal Perkhidmatan Sejagat (USP).
Katanya kos pelaksanaan program itu bergantung kepada kedudukan kampung-kampung yang terbabit di samping kewujudan infrastruktur asas yang diperlukan untuk menyediakan kemudahan tersebut.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian majlis Perhimpunan Rakyat 1Malaysia di pekan Beluru, daerah kecil Bakong, kira-kira 90 kilometer dari sini, hari ini.
“Bagi kampung yang terletak agak dekat dengan kawasan bandar dan mendapat bekalan elektrik yang berterusan, kosnya adalah lebih rendah berbanding kampung yang terletak lebih jauh,” katanya.
Majlis anjuran kementeriannya itu telah dirasmikan oleh Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Exco Penerangan Negeri.
Menurut Salang, setakat ini projek kampung WiFi yang membolehkan penduduk luar bandar menikmati kemudahan internet jalur lebar melibatkan lapan buah kampung di Sarawak.
Usaha kerajaan negeri melalui Program Inisiatif Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak juga turut membantu untuk memperluaskan lagi perkhidmatan WiFi untuk penduduk kawasan luar bandar, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan