Selasa, 16 November 2010

Yayasan Selangor: MB minta Noh beri penjelasan

Harakahdaily

SHAH ALAM : Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mahu Datuk Seri Noh Omar membuat penjelasan berhubung kenyataannya semalam yang mendakwa majlis makan tengahari sempena ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor adalah RM800,000.

Sambil menafikan dakwaan Timbalan Pengerusi Umno Selangor itu, Khalid berkata, jumlah yang dilaporkan kepadanya hanya RM 300,000 dan bukan RM800,000 seperti yang didakwa.

"Angka yang diberikan kepada saya hanya RM300,000.

"Biar beliau (Noh Omar) tampil dan menjelaskan (angka RM800,000)," kata Khalid kepada pemberita di bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor semalam.

Beliau mengulas dakwaan Noh kelmarin bahawa kos sebenar adalah melebihi RM300,000 dan menjangkau RM800,000.

Majlis itu sepatutnya diadakan semalam namun dibatalkan selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memutuskan untuk tidak hadir kerana dukacita setelah dimaklumkan perbelanjaan melebihi RM300,000.

Kelmarin, Khalid dalam satu kenyataanya juga menjelaskan siasatan awal berhubung keputusan kontroversi untuk membelanjakan RM300,000 bagi majlis sambutan ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor telah dimmulakan.

Sementara itu, menunjukkan penglibatan pejabat Timbalan Pengurus Besar yayasan itu, Mohd Sharifuldin Sulaiman diarah cuti bergaji selama sebulan berkuat kuasa serta merta sehingga siasatan selesai.

"Kerajaan menghargai setiap maklumat salah laku bagi memastikan pentadbiran negeri dan anak syarikat diuruskan dengan telus dan bertanggungjawab.

"Kita juga tidak akan teragak-agak untuk membuat keputusan berani termasuk membawa mana-mana individu yang terbukti melakukan salah guna kuasa ke muka pengadilan," katanya.

Tiada ulasan: