Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri-negeri Pakatan Rakyat kali kedua berlangsung hari ini di Kompleks Kediaman Pegawai Kerajaan di Seksyen 7 di sini, yang menyaksikan tiga Menteri Besar dan Ketua Menteri berazam untuk mengukuhkan kerja sama bagi meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.
Persidangan sehari ini dihadiri Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Exco-exco Kerajaan negeri dan wakil-wakil anak syarikat kerajaan negeri.
Dalam ucapan perasmian, Abdul Khalid berkata, persidangan ini adalah medium penting untuk berkongsi pandangan serta pengalaman dalam menggalas amanah rakyat berdasarkan prinsip ketelusan, pertanggungjawaban dan urus tadbir kerajaan yang baik.
Katanya, persidangan ini juga ruang penting untuk membolehkan persoalan dasar, strategi dan program yang telah dilaksanakan di setiap negeri terlibat dikongsi sebagai panduan atau pengajaran kepada semua pihak.
Abdul Khalid berkata, negeri-negeri Pakatan Rakyat menghadapi pelbagai cabaran selama hampir tiga tahun memerintah tetapi berjaya mematahkan cubaan yang bertujuan menggagalkan usaha-usaha melakukan reformasi pentadbiran negeri.
Beliau berharap, persidangan kali ini dijadikan landasan untuk berkongsi pengalaman untuk meningkatkan tahap perkhidmatan sekali gus memperkukuhkan pentadbiran sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Bezakan kawan dan lawan
Lim Guan Eng pula berkata, pemimpin Pakatan Rakyat perlu mengubah tanggapan bahawa mereka ini bukan lagi pembangkang tetapi pemerintah negeri pemerintah dan perlu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan sebaik mungkin.
Katanya, pemimpin negeri Pakatan Rakyat tidak perlu terlalu birokratik atau terikat dengan protokol kerana pemimpin Pakatan Rakyat perlu kekalkan budaya pemimpin berjiwa rakyat.
"Kita perlu kekalkan nilai-nilai mesra rakyat dan mudah didampingi yang kita amalkan sebelum menjadi kerajaan pemerintah. Paling penting kita tahu bezakan yang mana lawan dan kawan," katanya.
Lim juga menasihatkan Kerajaan Pakatan Rakyat supaya mendapatkan sokongan kakitangan awam dan tidak mengabaikan mereka menjadi nadi pentadbiran sesebuah negeri.
Nik Aziz Nik Mat (gambar kanan) pula menasihatkan negeri-negeri pakatan Rakyat terus bersatu menentang serangan media arus perdana yang terus memutar belit fakta bagi mengelirukan rakyat.
Beliau berkata, semua masalah yang timbul di negara ini adalah mainan UMNO yang sengaja menimbulkan suasana tidak senang rakyat terhadap Pakatan Rakyat.
Azizan Abdul Razak berkata, Pakatan tidak boleh terlalu yakin untuk terus berkuasa dan jadikan pilihan raya umum 2004 sebagai pengajaran apabila PAS tewas di Terengganu dan menang tipis di Kelantan.
Bagaimanapun, beliau berkata, rakyat Kedah semakin selesa dengan pentadbiran Pakatan di Kedah yang mengamalkan ketelusan dan berjaya meningkatkan hasil negeri menerusi pembalakan.
Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim, Presiden Pas Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang akan menyampaikan ucapan penggulungan pada malam ini.
*Kenyataan dari Sekretariat akhbar pejabat Menteri Besar Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan