Muhammad Yusri Amin |
KOTA BHARU: Badan Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) Bahagian Timur berpendapat sasaran sifar rasuah dalam pilihan raya hendaklah dijadikan objektif utama di samping usaha berkesan digerakkan bagi mempastikan etika, keadilan dan kebebasan pilihan raya tercapai. Pengarah Mafrel Bahagian Timur, Dr Abdul Halim Yusof berkata, ini kerana pilihan raya yang adil, bebas dan telus itu merupakan ‘jantung kepada demokrasi’. Justeru, katanya semua pihak mestilah memainkan peranan bagi mempastikan objektif itu terlaksana. Tambahnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah mewujudkan strategi lebih agresif dan berkesan dalam mencapai sifar rasuah. Sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula, ujarnya hendaklah melaksanakan operasinya lebih terbuka di lapangan semasa pilihan raya supaya menjadi strategi bagi menutup pintu rasuah. “Dalam masa sama, rakyat perlu dididik tentang maksud an bentuk rasuah yang boleh terjadi dalam pilihan raya. Ini penting agar rakyat boleh menjauhinya, sementara ‘peniup wisel’ pula mampu memainkan peranan dengan berkesan. “Walau pun dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri N.45 Galas pada 4 November lalu Mafrel tidak diberikan akreditasi oleh SPR dalam kerja pemantauan, namun Mafrel tidak berputus asa dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab sosialnya dengan meneruskan pemantauan perjalanan pilihan raya,” katanya. Beliau turut mengulas betapa perlunya pendekatan baru dalam kempen pilihan raya termasuk ketidakwajaran kehadiran polis dalam jumlah yang ramai. “ini kerana dalam konteks PRK N.45 Dun Galas, 88 peratus responden menyatakan tidak wujud pergaduhan atau keganasan, manakala selebihnya mengakui wujud sedikit pergaduhan tetapi tidak serius. “Sementara 86 peratus tidak merasai apa-apa kebimbangan untuk keluar mengundi dan semua pihak perlu berusaha mengurangkan kos pilihan raya,” katanya. Analisis dari Laporan Kajian Persepsi Penduduk Kawasan N.45 Dun Galas yang di sediakan Mafrel Kelantan juga menekankan aspek pengundian pada hari bekerja di mana ramai penduduk setempat tidak bersetuju. Ini, katanya kerana kemungkinan membebankan pengundi dari segi aspek pergerakan, masa, pekerjaan atau perniagaan mereka. |
Selasa, 16 November 2010
SPR perlu agresif sifar rasuah pilihan raya
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan