MASJID TANAH - Seorang pelajar Kolej Matrikulasi Londang, Melaka, ditemui meninggal dunia di dalam sebuah bilik air di bangunan asrama berkenaan, kelmarin, ketika pelajar lain sibuk mengikuti sesi pembelajaran di kelas.
Madihah Fauzi, 19, disifatkan sebagai pelajar berdisiplin dan memiliki penampilan yang bagus serta cemerlang dalam setiap pelajarannya, selain memegang jawatan Exco Pelajar.
Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Pelajar) Kolej Matrikulasi Londang, Khairuddin Norazri ketika ditemui berkata, kejadian itu pertama kali berlaku di kolej berkenaan dan ia di luar pengetahuan pihak pengurusan kolej.
"Amat mengejutkan kerana pihak kolej sebelum ini tidak pernah dimaklumkan bahawa mangsa mengalami penyakit dalaman (perut) yang kronik sehinggalah berita penemuan mayat mangsa sampai kepada pengetahuan kami.
“Dalam hal ini, pihak kolej tidak pernah abaikan kebajikan pelajar dan kami sangat terkejut dengan apa yang berlaku kerana sebelum kejadian ini, mangsa mengadu sakit perut biasa serta memaklumkan boleh mengawal diri," katanya.
Menurutnya, mangsa sememangnya ada mengadu sakit perut kepada rakannya pada malam sebelum kejadian dan memaklumkan akan ke klinik pada pagi keesokannya untuk mendapatkan rawatan.:
"Kelakuan mangsa yang bersahaja dan memperlihatkan dirinya sihat sambil membawa peralatan mandi ke bilik air meyakinkan rakan sebiliknya bahawa mangsa akan ke klinik selepas itu, namun apa yang berlaku sebaliknya.
"Kehilangan mangsa disedari beberapa pelajar yang juga rakan sebiliknya. Mangsa tidak muncul-muncul sejak pagi itu selepas ke bilik air sebelum rakannya pergi mencarinya di kawasan bilik air wanita," katanya.
Khairuddin berkata, sebaik sahaja rakannya masuk ke dalam bilik air berkenaan, mereka nampak sekujur tubuh di dalam tandas melalui bahagian bawah, dalam keadaan terbaring.
"Rakan mangsa terpaksa memecahkan pintu tandas untuk mengeluarkan mangsa yang ketika itu sudah tidak lagi bernyawa sebelum bantuan kecemasan tiba setengah jam kemudian, namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia.
“Pihak kami menghormati keputusan keluarga mangsa membawa pulang jenazah terus ke kampungnya di Johor Bahru tanpa dihantar ke hospital untuk bedah siasat dan pihak kolej telah menguruskannya," katanya.
Sabtu, 27 November 2010
Pelajar kolej temui ajal dalam tandas
SINAR HARIAN ONLINE
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan