Oleh: SARINA ABDUL GANIH (USM)
MENURUT Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Empat, perkataan Bajau membawa dua maksud yang berlainan iaitu membajau atau memukul; dan merupakan suku kaum peribumi ketiga terbesar di Sabah yang terbahagi kepada dua golongan iaitu Bajau Laut yang tinggal di Timur Sabah dan Bajau Darat di Barat Sabah; yang masing-masing bertutur dalam dialek berbeza dan kegiatan utama mereka ialah bertani, menternak serta menangkap ikan.
Berdasarkan tafsiran di atas dan kajian yang dilakukan oleh ahli Sosiologi dan Antropologi, belum ada yang benar-benar mengkhususkan kajian ke atas Bajau dari segi semantik dan akar budaya.
Apa pandangan anda jika saya katakan etnik Bajau sebenarnya tidak wujud secara harafiah dan akliah?
Mengikut kajian saya, bermula daripada Sabah ke Semenanjung, merentas Acheh hingga Sumatera dan Sulawesi; lalu berakhir di Pulau Ubian, Filipina, saya tidak menemui satu akar budaya yang benar-benar menonjolkan Bajau Asli di Sabah.
Saya bersetuju dengan pandangan mantan Panglima Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI),Jenderal Wiranto bahawa Bajau merupakan satu ‘komuniti’ yang mendiami kawasan maritim yang dikenali sebagai ‘Sea Gypsy’ (Nomad Kelautan) yang berpindah-randah dan majoritinya menjadi nelayan sara diri dan glokal.
Menurut Wiranto, Orang Cina, Orang Buton, Orang Bugis dan semua yang tinggal di seluruh kepulauan di Indonesia yang jumlahnya sekitar 40 juta orang adalah komuniti Bajau.
Saya merasakan betapa kerdilnya saya di tengah-tengah kepungan komuniti Bajau Indonesia kerana di Sabah jumlah Bajau Asli hanya sekitar 1 peratus daripada jumlah Bajau Indonesia; selebihnya adalah Bajau Filipina.
Walaupun pandangan Wiranto sukar atau mustahil untuk diterima oleh Bajau Sabah, namun itulah hakikatnya dan merupakan terjemahan yang paling tepat yang ada setakat ini.
Para pengkaji budaya bingung dan terperangkap dengan teori yang ditinggalkan oleh Orientalis barat serta Bajau pasca kemerdekaan yang mengadaptasi budaya Filipina sebagai budaya Bajau sedangkan akar budaya Bajau Asli Sabah tidak dapat dikesan sama sekali.
Budaya yang ‘dicipta’ seperti perayaan Lepa-Lepa, tarian Igal-Igal atau Daling-Daling dan hampir kesemua budaya yang diamalkan oleh Bajau di Sabah berakar umbi daripada Bajau Filipina sehingga tidak menampakkan langsung jati diri mereka.
Di Sabah, Bajau ‘Lannang’ (Cina) merupakan komuniti Bajau yang memainkan peranan penting untuk survival Bajau Asli di Sabah; kerana mereka mempunyai modal untuk menceburi bidang perikanan, laut dalam, akuakultur, pemasaran dan pemegang modal kepada industri perikanan yang didominasi Bajau selama ini.
Etnik ‘Pelauh’ (Palau) yang mempunyai kad pengenalan sahaja yang sewajarnya diiktiraf sebagai sub-etnik Bajau sekalipun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf kewujudan mereka sebagai bangsa nomad yang tidak memerlukan dokumen dan dikecualikan daripada undang-undang Imigresen di semua bekas tanah jajahan British.
Dari segi bahasa, Bajau tidak mempunyai etnolinguistik atau bahasa rasmi Bajau melainkan terpecah kepada beberapa dialek campuran seperti Bajau Kota Belud, Bajau Kudat, Bajau Sandakan, Bajau Telisai, Bajau Tambisan dan Bajau Semporna namun kesemuanya dipengaruhi oleh kosa kata Bajau Ubian yang menjadi katalis sebenar bahasa Bajau.
Sehubungan itu, wajarkah kita menerima Bajau sebagai etnik atau komuniti kerana kita tidak menemui Bajau dalam Perlembagaan Negeri dan Persekutuan. Lalu di manakah status etnik Bajau dalam perundangan negara?
Walaupun USBO telah merumuskan Bajau sebagai Rumpun yang mempunyai 12 sub-etnik iaitu Irranun, Sama, Suluk, Binadan (Bannaran), Ubian, Sama Delaut, Sibutu, Sikubung, Simunul, Samal, Yakan dan Jama Mapun namun tidak menyatakan secara jelas apakah wujud bangsa atau etnik Bajau.
Saya agak terkejut dengan statistik taburan penduduk yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara bagi 2010 yang menyatakan jumlah penduduk Sabah seramai 3,271,921 orang. Daripada jumlah tersebut hanya seramai 2,435,295 warganegara, manakala bakinya seramai 836,626 bukan warganegara.
Sesuatu yang agak musykil, tidak diketahui berapa jumlah sebenar Bajau di Sabah kerana tidak dinyatakan sebarang pecahan etnik di manakah termasuknya Rumpun Bajau dan hanya dicatatkan Bumiputera seramai 1,975,699 orang dan bumiputera lain seramai 1,600,764 orang. Manakala Cina seramai 303,426 orang, India seramai 12,004, Melayu seramai 374,935 dan lain-lain seramai 144,166 orang.
Sebagai rumusan, saya berpendapat bahawa Bajau Sabah harus mengikut Perlembagaan Negeri dan Persekutuan dengan menjenamakan semula etnik Bajau sebagai Bumiputera berketurunan mengikut sub-etnik masing-masing dan bukannya Bajau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan