SEDAKA SEJAHTERA
ALOR SETAR - Seorang Penolong Pengurus Felda dikenakan hukuman penjara selama dua minggu dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah lima tahun lalu.
Hakim Chan Jit Li menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Salleh Md. Said, 47, di akhir pembelaan kes hari ini.
Tertuduh didakwa menerima seunit komputer riba bernilai RM3,100 sebagai dorongan untuk mempercepatkan proses penyediaan bayaran bagi kerja-kerja tambahan kepada kerja membekal, membina dan menyiapkan jalan-jalan pertanian di Felda Lubuk Merbau, dekat sini oleh sebuah syarikat.
Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut di Sentosa Plaza di sini kira-kira pukul 5 petang pada 14 Mei 2005.
Salleh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama.
Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara selepas peguam bela, Pyara Singh yang mewakili tertuduh menyatakan pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.
Jit Li membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000 dengan dua penjamin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan