Isnin, 29 November 2010

KFC sasar 3,400 ibu tunggal, suri rumah sertai sudut Ayamas menjelang 2014

BERNAMA

kfc-logoALOR SETAR: KFC Holdings (Malaysia) Berhad mensasarkan melahirkan sekurang-kurangnya 3,400 pengusaha di bawah model perniagaan Sudut Ayamas yang dikhaskan untuk ibu tunggal dan suri rumah yang berpendapatan rendah menjelang 2014.

Pengurus Besar KFC Marketing Sdn Bhd Nasharuddin Shukor berkata inisiatif itu yang merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Usahawan Bistari Ayamas dimulakan sejak September tahun lepas dan ketika ini mempunyai 206 pengusaha.

Katanya model perniagaan itu terdiri daripada sebuah peti sejuk beku beserta rak pameran, yang akan diletakkan di rumah pengusaha-pengusaha yang terlibat.

"Produk-produk Ayamas yang telah ditinkan dan dibotolkan akan diletakkan di rak-rak pameran tersebut manakala produk-produk sejuk beku "Ayamas Pek Jimat" akan diletakkan dalam peti sejuk beku.

"Kalau mengikut perancangan, sehingga tahun ini kita mahu lahirkan 400 pengusaha. Tahun depan tambahan 500 pengusaha. Tahun 2012 tambahan 500 lagi pengusaha. Tahun 2013 kita mahu tambah 1,000 lagi pengusaha baru dan 2014 tambah 1,000 lagi," katanya ketika ditemui pada Program Usahawan Bistari 2010 peringkat Zon Utara di sini pada Sabtu.

Program Usahawan Bistari adalah anjuran bersama Johor Corporation dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Ia dimulakan bagi Zon Selatan pada Mei lepas, diikuti Zon Tengah pada 20 dan 21 Nov.

Nasharuddin berkata program itu dikhususkan kepada suri rumah dan ibu tunggal dengan pendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan dan dimulakan di Johor, sebelum diperluaskan ke Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

"Sekarang kita nak cari pengusaha di Kedah dan Perlis pula. Lepas ini kita akan ke Pantai Timur. Tahun depan kita akan bawa bulan program ini ke Sabah dan Sarawak," katanya.

Nasharuddin berkata modal permulaan untuk Sudut Ayamas adalah RM1,000 yang melibatkan stok barangan dan bahan promosi manakala sewa bulanan adalah RM25.

"Ada peniaga mendapat bantuan kewangan atau geran daripada pihak-pihak seperti MITI, Wakaf Dana Niaga bagi Johor, Majlis Agama Islam Melaka, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Perak.

"Pihak kita memberikan latihan, sokongan "point of sale", pengawasan dan peralatan. Kita akan memantau prestasi mereka dari semasa ke semasa. Seramai 90 peratus daripada pengusaha sekarang adalah suri rumah," katanya.


Tiada ulasan: