Sabtu, 27 November 2010

PKR Ada 400,000 Anggota, Kata Saifuddin Nasution

FREE MALAYSIA TODAY

saifuddinPETALING JAYA: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan parti itu mempunyai 400,000 anggota di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 50 peratus adalah Melayu, India (22 peratus), Cina (13 peratus) dan kaum di Sabah dan Sarawak (15 peratus).

"Mengikut rekod keanggotaan parti, sehingga 25 Nov lepas, keahlian kita mencapai 370,000 anggota dan sebanyak 24,000 lagi permohonan dalam proses menjadi ahli parti," katanya ketika membentangkan laporan Setiausaha Agung di Kongres Nasional Tahunan Ke-7 PKR di sini, lapor Bernama.

Majlis perasmian kongres oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail turut dihadiri dua Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

Mengenai pemilihan parti, Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Machang berkata sebanyak 99.7 peratus anggota PKR layak mengundi pada pemilihan tersebut yang melaksanakan kaedah "satu anggota satu undi".

Saifuddin juga berkata seramai 70,000 anggota di seluruh negara direkodkan keluar mengundi ketika pemilihan di peringkat Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) yang menyaksikan seramai 13,000 calon mencuba nasib bagi merebut pelbagai jawatan termasuk ketua cabang.

Mengenai jumlah aduan yang diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) pada pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Saifuddin berkata sehingga Khamis lepas, sebanyak 18 aduan diterima.

Katanya, kesemua aduan itu masih dalam siasatan JPP dan ia tidak akan dipinggirkan.

Tiada ulasan: