Khamis, 8 April 2010

10 KPI untuk perkasa pentadbiran agama

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Jabatan Perdana Menteri menetapkan 10 petunjuk prestasi utama (KPI) sebagai sasarannya tahun ini dalam usaha memperkasakan pentadbiran hal ehwal agama Islam negara termasuk dalam bidang pendidikan sosio-ekonomi umat Islam.

KPI itu ialah penyeragaman undang-undang keluarga Islam, memartabatkan program Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA), menaikkan elaun guru KAFA, menubuh stesen televisyen "Al-Hijrah", pengukuhan industri makanan halal, mewujudkan manual rujukan prosedur kes perceraian di pejabat agama dan mahkamah syariah, memartabatkan institusi tahfiz negara, pembangunan hartanah wakaf, memajukan industri Ar-Rahnu dan memantapkan pengurusan Tabung Haji.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan agensi-agensi di bawah JPM di sini hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penyeragaman undang-undang keluarga Islam dilakukan menerusi penguatkuasaan Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan)(Pindaan) 2006 Akta A1261 yang diharap dapat diwartakan
pada September ini.

Usaha memartabatkan program KAFA ialah dengan mewujudkan Skim Perkhidmatan Guru KAFA dan menaikkan elaun guru KAFA akan memastikan elaun mereka melepasi RM720 yang merupakan paras kemiskinan, katanya.

Jamil Khir berkata JPM akan memartabatkan institusi tahfiz dengan memberi pengiktirafan yang lebih luas kepada para huffaz dan menubuhkan Dewan Huffaz Kebangsaan.

Tiada ulasan: