Isnin, 1 Mac 2010

“PPSMI mansuh, tapi Tingkatan 6, Matrik masih belajar dalam BI” - PLM

Oleh Mohd Ali Bakri


KUALA LUMPUR : Menjelang 7 Mac, ketika menyambut setahun kejayaan rakyat bersama Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) menumbangkan dasar kerajaan yang zalim dan curang; PPSMI, rakyat diingatkan agar tidak leka dengan beberapa dasar kerajaan yang masih belum berganjak daripada kebiasaan mereka sebelum ini.

Timbalan Pengerusi Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) Kamal Shukri Abdullah Sani berkata masyarakat jangan sama sekali lupa atau terkeliru dengan beberapa hal yang bersangkut paut dengan fikiran pegawai kerajaan yang masih inginkan bahasa Inggeris diutamakan sekolah dan di peringkat matrikulasi.

"Untuk pelajar Tingkatan 6 dan matrikulasi di universiti, corak pengajian dan pembelajarannya masih belum ditukar ke bahasa Melayu. Mungkin dasar ini tidak akan ditukar-tukarkan lagi. Ramai pihak yang tidak sedar berhubung hal ini.

"Dalam suatu mesyuarat untuk menentukan sama ada, pengajaran dan pembelajaran itu mahu digunakan dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, saya pernah melawan isu ini habis-habisan agar ia dikembalikan kepada bahasa Melayu," kata beliau kepada erapakatan.com di sini, hari ini.

Menyentuh pengalamannya yang lalu, 'perang' dalam mesyuarat yang dihadirinya itu berlaku seminggu sebelum Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan hal pemansuhan PPSMI di sekolah-sekolah di seluruh Malaysia.

"Nampaknya saya tewas dalam mesyuarat itu. Memang PPSMI dibatalkan di sekolah-sekolah, tetapi di tingkatan 6 dan matrikulasi, pembelajaran dalam bahasa Inggeris itu masih berjalan terus.

"Mesyuarat itu berlangsung pada Februari tahun lalu. Saya kata kepada dua pegawai yang masih pertahankan dasar itu; kalaulah Abdullah dan Najib Razak ketika itu memanggil saya, pendirian saya mengenai PPSMI tidak akan berubah," kata beliau.

Kamal Shukri, seorang penggiat PLM adalah salah seorang daripada penggerak Kumpulan Prihatin yang bergabung bersama kumpulan lain sehingga kerajaan berasa tergugat lalu memansuhkan PPSMI ekoran desakan rakyat dalam perhimpunan di depan Istana Negara pada 7 Mac tahun lalu.

Tiada ulasan: