BERNAMA
IPOH: Bayi baru lahir yang dijumpai berhampiran tempat pembuangan sampah sebuah pusat membeli belah di sini pada 20 Mac lepas akan ditempatkan sementara di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini mendapat perintah Mahkamah Majistret untuk menempatkan bayi berkenaan di rumah perlindungan itu.
Anggota Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, bayi yang dinamakan sebagai Masya Qurniea Abdullah akan ditempatkan selama satu bulan untuk menanti tuntutan waris.
Hamidah, yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk mengambil bayi itu sebagai anak angkat berkata, penempatan Masya di rumah perlindungan itu adalah mengikut peraturan sedia ada dan permohonan pengambilan anak angkat hanya boleh dibuat selepas tiada waris membuat tuntutan.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli melawat Masya Qurniea di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Bayi yang hanya berbalut kain ditemui berhampiran tempat pembuangan sampah oleh orang awam sebelum dimasukkan ke HRPB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan