Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR: Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) meminta Kerajaan Persekutuan berkerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengadakan kajian secara menyeluruh bagi menyelesaikan masalah banjir di Rantau Panjang yang berlanjutan sejak sekian lama. Siti Zailah (gambar) berkata, tiada gunanya jika kerajaan menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk proses penstabilan Sungai Golok namun tidak dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat kawasan berkenaan. "Program penstabilan itu tidak memberi kesan kepada masalah banjir sebaliknya kesan banjir semakin bertambah sebab benteng di sebelah Thailand lebih tinggi berbanding di Sungai Golok. Air dari Sungai Thailand mengalir ke sebelah Rantau Panjang. "Saya tidak mahu jumlah wang sahaja banyak tetapi apa yang dibuat tidak memberi penyelesaian kepada rakyat. Sebab itu saya meminta pihak kementerian bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan supaya perkara ini dibuat kajian secara menyeluruh dan mengenal pasti punca sebenar berlakunya banjir," katanya ketika ditemui di lobi parlimen hari ini. Sebelum itu, Siti Zailah meminta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menyatakan status projek tebatan banjir di Rantau Panjang, berapa jumlah peruntukan diluluskan, bila dijangka siap dan bagaimana ia boleh mengatasi bencana banjir di Rantau Panjang. Timbalan menteri berkenaan, Tan Sri Joseph Kurup dalam jawapannya memberitahu, sebagai langkah jangka masa pendek untuk mengurangkan kesan masalah banjir di Lembangan Sungai Golok, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan sejumlah lima projek untuk menstabilkan tebing Sungai Golok di Rantau Panjang melibatkan kos berjumlah RM28.2 juta. Tiga daripada projek tersebut telah siap manakala dua lagi masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada bulan September 2010. Bagi menangani masalah banjir dalam jangka panjang, pihak JPS sedang menjalankan penyediaan reka bentuk terperinci bagi Proposed Sungai Golok (KESBAN) Protection Scheme. Sejumlah RM12.63 juta telah diperuntukkan untuk kerja-kerja reka bentuk ini. Kemajuan terkini kerja-kerja ini adalah 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2010. Menurutnya, dalam reka bentuk terperinci ini, komponen-komponen kerja yang dicadangkan di Rantau Panjang ialah pembinaan floodwall, floodway dan menaik taraf sistem saliran dalaman di Pekan Rantau Panjang. Kerja-kerja ini akan dilaksanakan dalam tiga fasa. Siti Zailah yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut berkata, kerajaan harus mengambil iktibar daripada isu banjir di Kempas, Johor apabila masalah berkenaan belum menemui penyelesian meskipun tembatan telah dibina. "Saya tidak puas hati apabila kerajaan mengatakan sudah beratus juta peruntukan diberi untuk menyelesaikan masalah ini sebab saya melihat kesan banjir ini terus berlaku. "Sebab itulah saya mengatakan tadi, saya tidak mahu kerajaan menghabiskan berjuta ringgit sebagaimana yang berlaku di Kempas, Johor Bharu di mana setelah tembatan banjir dibuat, masalah penduduk semakin kronik. Kontraktor tidak mengambil kira soal saliran air. Isu yang sama berlaku di Rantau Panjang. Kita tidak mahu kerajaan hanya melepaskan batuk di tangga," katanya. Rantau Panjang merupakan salah satu kawasan rendah yang sering menghadapi masalah banjir yang teruk pada musim tengkujuh setiap tahun. |
Rabu, 31 Mac 2010
Berjuta ringgit habis, masalah banjir tidak selesai
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan