Khamis, 18 Mac 2010

Kerajaan Selangor Rancang Projek Perintis Tangani Gejala Sosial

TV SELANGOR


SHAH ALAM : Kerajaan Selangor mahu melancarkan program besar-besaran bagi membanteras gejala sosial remaja, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Halimah berkata, hampir RM2 juta diperuntuk bagi program yang bersifat menyeluruh dan mendapat kerjasama keluarga remaja yang pernah terbabit dengan masalah sosial.

"Kerajaan Selangor memperuntuk RM1.9 juta khusus untuk projek perintis menangani gejala sosial di negeri ini, tidak lama lagi. Fokus kita ialah sekitar Sabak Bernam.

"Kita akan kumpul semua jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pimpinan penduduk tempatan, pertubuhan wanita dan belia supaya masalah sosial dapat dirungkai secara menyeluruh dan holistik," katanya.

Beliau membuat pengumuman itu pada sidang media selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri yang dipengerusikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, semalam.

Dalam pada itu, Halimah berkata, kerajaan Selangor akan mengambil kembali tanah di Jeti Pulau Ketam dan membina jeti baru yang lebih kukuh, bersih dan selamat bagi kegunaan rakyat.

"Kerajaan Selangor dalam proses meluluskan warta pengambilan tanah di lot 7A untuk kepentingan awam sebesar 0:34 ekar. UPEN memohon bagi pihak kerajaan negeri untuk pengurusan tanah itu.

"Dalam masa dua atau tiga bulan urusan pengambilan tanah ini dijangka selesai," katanya lagi.

Tiada ulasan: