Khamis, 18 Mac 2010

TI-M gesa Selangor meterai perjanjian integriti

SELANGOR KINI

sunagai

SHAH ALAM - Dalam usaha meningkatkan ketelusan dan ketanggungjawaban di Selangor, badan antarabangsa Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa kerajaan negeri memeterai perjanjian integriti atau Integrity Pacts (IP) bersama empat syarikat yang dilantik untuk menerajui projek pemulihan Sungai Klang.

Presiden TI-M, Paul Low, dalam satu kenyataan menjelaskan, IP adalah langkah anti-rasuah yang mengikat pengguna barangan dan perkhidmatan dan pembekal untuk tidak menyogok atau menerima rasuah sama ada secara terus atau bukan.

Beliau menjelaskan perjanjian ini adalah antara langkah anti-penyelewengan yang terbukti dan menuntut pemeterai patuh pada prinsip integriti dalam setiap proses urusan mereka.

Demikian kerana projek pemulihan Sungai Klang ini adalah projek besar-besaran meliputi 15 tahun dan membabitkan perbelanjaan berbilion ringgit, Paul Low berkata, pemeteraian IP mampu mengekang salahguna kuasa selain meminimakan kos.

“Mereka yang melanggar syarat dan terma IP boleh dikenakan sekatan seperti pembatalan kontrak pembekalan, disenarai hitam atau penyitaan bon,” kata Paul.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berwawasan untuk menjadikan tebing-tebing strategik sepanjang Sungai Klang sebagai nadi pembangunan hartanah, dan jaringan pengangkutan air sebagai mod mobiliti baru selain melancarkan trafik di lebuh raya.

TSS-Mako Engineering Sdn Bhd, GJA Engineering & Construction, Wessex Water i-Berhad Consortium dan DPZ Asia Sdn Bhd dilantik minggu lalu untuk menerajui projek bernilai RM10 bilion ini.

Pakar teknikal dan pegawai kanan dari setiap syarikat terbabit bersama-sama Kerajaan Negeri membentuk Urusetia Projek Pembangunan dan Pemulihan Sungai Klang untuk memantau dan menyelia projek ini.

Tiada ulasan: