Selasa, 2 Mac 2010

Keputusan status Murugiah ditentu 14 April

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam, menetapkan 14 April ini untuk keputusan permohonan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengetepikan keputusan Tribunal Timbang Tara Malaysia (Mate) yang memutuskan Datuk T Murugiah sebagai Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) yang sah.

Hakim Datuk Aziah Ali menetapkan tarikh berkenaan dalam kamarnya semalam.

Dalam prosiding itu Aziah memerintahkan peguam yang mewakili Mate dan ROS untuk memfailkan hujahan bertulis masing-masing iaitu pada 23 Mac dan 1 April depan.

Mahkamah turut menetapkan pada 23 April depan untuk membuat keputusan berhubung permohonan Presiden PPP, Datuk M Kayveas untuk dinamakan sebagai pencelah dalam kes berkenaan.

Dalam permohonannya pada 24 Disember 2009, ROS menamakan Mate, Presidennya Datuk Munsyi Muslim Yacob selaku penimbang tara, Prof Madya Datuk Abdul Halim Sidek dan Murugiah selaku responden.

ROS memohon perisytiharan fungsi, tanggungjawab statutori dan bidang kuasanya tidak tertakluk kepada tindakan Mate dan memohon perintah tindakan Murugiah merujuk kepada Mate satu proses penyalahgunaan undang-undang, tidak sah dan terbatal.

Berikutan pengisytiharan Mate pada 11 Disember 2009 bahawa beliau presiden PPP yang sah, pada 28 Disember 2009 Murugiah memfailkan permohonan untuk menguatkuasakan perisytiharan itu.

Bagaimanapun, mahkamah masih belum menetapkan sebarang tarikh berhubung permohonan berkenaan kerana perlu memutuskan permohonan ROS terlebih dulu.

Pada 30 Disember 2009 pula Murugiah menarik balik samannya terhadap ROS yang memutuskan pemecatannya oleh PPP adalah sah.

Murugiah diwakili peguam A Vishnu Kumar dan Sreekant Pillai, ROS diwakili Peguam Kanan Persekutuan Datin Azizah Nawawi dan Nadia Hanim Mohd Tajuddin, Mate diwakili peguam Mohan Krishnan dan Kayveas diwakili peguam Naran Singh.

Tiada ulasan: