Khamis, 17 September 2009

Speaker DUN Kedah akan fail tuntutan

BERITA HARIAN ONLINE


ALOR SETAR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail, akan memfailkan tuntutan berhubung keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sarif sebelum 10 Oktober ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata Speaker DUN berkenaan sudah melantik empat peguam untuk mengendalikan kes tuntutan berkenaan.

"Kita akan failkan tuntutan kes itu sebelum tempohnya tamat iaitu 10 Oktober ini.

"Saya difahamkan peguam yang dilantik kini sibuk membuat persiapan supaya kes itu dapat difailkan sebelum tarikh akhir berkenaan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Azizan berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan berhubung tindakan kerajaan negeri mencabar keputusan SPR yang mengekalkan kedudukan Abu Hassan sebagai Adun Kota Siputeh.

Pada 1 September lalu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, mengumumkan kerusi DUN Kota Siputeh kekal milik Barisan Nasional (BN) selepas mendapati kegagalan Abu Hassan menghadiri dua mesyuarat tidak bercanggah dengan Perkara 51 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah (UTKNK).

SPR mendapati mesyuarat yang tidak dihadiri oleh Abu Hassan bukan dua mesyuarat yang berturut-turut dalam satu penggal seperti yang didakwa oleh Dr Abdul Isa.

Keputusan SPR itu bagaimanapun mengecewakan kerajaan Pas Kedah yang mahu mencabarnya di mahkamah.

Dr Abdul Isa sebelum itu menghantar surat kepada SPR untuk memohon mengisytiharkan kerusi DUN Siputeh kosong berikutan kegagalan Abu Hassan menghadiri sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Ditanya mengenai harapan kerajaan negeri untuk memenangi kes itu apabila ia dirujuk ke mahkamah, Azizan berkata, apabila ada pandangan berbeza antara Speaker DUN dan SPR, biarlah mahkamah memutuskannya.

"Kita bukan suka sangat jika ada pilihan raya, tetapi kita hanya mengikut peraturan. Jika kerajaan berjalan seperti biasa saya yakin kita dapat menegakkan hak kita," katanya.

Tiada ulasan: