Isnin, 14 September 2009

Pemimpin Umno Anggap Tindakan Perwakilan MIC Biadap Dan Melampau

BERNAMA


KUALA LUMPUR -- Tindakan perwakilan MIC mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad, termasuk cadangan mengalungkan gambar bekas perdana menteri itu dengan kalungan selipar dibidas oleh pemimpin Umno yang menganggap ia sebagai melampau dan biadap.

Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim berkata tindak-tanduk seumpama itu bukan budaya Barisan Nasional (BN) dan MIC perlu bertanggungjawab untuk mengambil tindakan.

"Tindakan perlu dikenakan oleh BN jika pimpinan MIC membiarkan perkara itu berlalu begitu sahaja. Ia mesti diambil demi menjaga kerukunan dalam BN," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beberapa akhbar pada Isnin melaporkan bahawa Dr Mahathir telah dikritik para perwakilan MIC pada perhimpunan itu kerana dikatakan mencampuri urusan dalaman MIC serta menjatuhkan maruah presiden parti itu Datuk Seri S.Samy Vellu.

Razali, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata pergerakan itu berpandangan bahawa "tindak tanduk sebegini tidak membantu mengalihkan pandangan masyarakat kepada kedudukan MIC yang sebenarnya. Rasa hormat perlu diraih dan bukan boleh diminta-minta."

"Mereka (MIC) kena cari jalan menonjolkan perancangan dan kerja yang baik, bukan dengan menyalahkan orang lain apatah lagi menghina pemimpin besar negara," katanya.

Di ALOR SETAR, Umno Kedah turut melahirkan kekesalan dengan sikap perwakilan MIC dan menganggap tindakan itu tidak wajar dan tidak patut dicadangkan oleh anggota parti komponen BN.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata walaupun Dr Mahathir dikatakan mencampuri MIC dengan kenyataannya, masih banyak lagi cara atau saluran untuk menyampaikan rasa tidak puas hati mereka.

"Cadangan itu menggambarkan kaum India di negara ini tidak menghargai jasa dan sumbangan Dr Mahathir terhadap masyarakat mereka. Ini menunjukan pemikiran mereka sangat cetek.

"Sehubungan itu, Umno Kedah mahu Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu memohon maaf secara terbuka kepada Dr Mahathir," katanya.

Di MELAKA, veteran Umno Tan Sri Abdul Aziz Tapa berkata kecaman yang begitu teruk oleh perwakilan MIC terhadap Dr Mahathir pada perhimpunan Agung parti itu di Kuala Lumpur semalam tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Amat tidak patut usul seperti ini, nampaknya mereka sudah tenggelam punca, hilang pertimbangan apabila kena tegur," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata sebagai anggota parti dalam BN, perwakilan MIC terbabit tidak sepatutnya mencadangkan usul berkenaan terhadap Dr Mahathir yang juga merupakan bekas pengerusi BN.

"Dulu mereka boleh tegur tetapi sekarang sudah tidak boleh tegur, sepatutnya sebagai pemimpin parti dalam komponen BN mereka lebih rasional," katanya.

Beliau berkata Samy Vellu wajar menemui dan meminta maaf daripada Dr Mahathir berikutan insiden itu.

Tiada ulasan: