BERNAMA
PULAU PINANG -- Kira-kira 150 pelancong yang marah telah memulangkan semula tiket keretapi Bukit Bendera selepas perkhidmatan keretapi itu tergendala pagi Selasa.
Ramai pelancong yang memulangkan semula tiket kereta api itu sebaik pengumuman dibuat oleh pejabat operasi Keretapi Bukit Bendera bahawa tren itu terkandas di stesen atas.
Kejadian itu merupakan yang kedua dalam tempoh dua hari selepas 500 pelancong terkandas di atas bukit berikutan masalah elektrik di bilik pemanduan enjin stesen atas yang menyebabkan perkhidmatan kereta api itu tergendala selama empat jam malam tadi.
Seorang guru, Mohd Idris Kamarudin, 39, dari Taiping, Perak yang bercuti bersama keluarganya sempena Hari Raya Aidilfitri merasa kecewa selepas perkhidmatan kereta api itu dihentikan kerana masalah teknikal.
"Lebih baik keluarga saya memulangkan tiket kereta api untuk pergi melancong ke tempat lain kerana insiden ini telah menjejaskan rancangan percutian kami," katanya kepada Bernama.
Katanya, beliau telah banyak kali mendengar insiden yang serupa sebelum ini dan menegaskan hanya akan mengunjungi tempat tersebut selepas sistem kereta api itu selesai dinaik taraf.
Pelancong asing Wilson Steve, 45, dari Australia yang pertama kali melawat Pulau Pinang berkata beliau telah memulangkan tiket kereta api dan akan melawat Tokong Kek Lok Si yang terletak berhampiran kawasan tersebut.
"Saya akan datang semula ke sini dalam beberapa hari lagi dan berharap masalah teknikal ini selesai pada masa itu," katanya.
Sementara itu, jurucakap pejabat operasi Keretapi Bukit Bendera yang ditemui di stesen bawah berkata insiden malam tadi berjaya dipulihkan sementara dan ia berulang kembali pukul 8 pagi tetapi dapat diperbaiki 11.10 pagi.
"Insiden hari ini tidak dijangka dan terdapat 60 pelancong terkandas pagi ini sebelum kontraktor mengambil masa tiga jam untuk memulihkan kembali masalah elektrik di bilik pemanduan enjin di stesen atas," katanya.
Katanya enjin tren lama sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan jumlah perjalanan dari setengah jam kepada setiap 15 minit sempena cuti Hari Raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan