Ahad, 6 September 2009

KD Tun Razak Belayar Pulang 26 Jan 2010

BERNAMA


LUMUT -- Kapal selam kedua negara, KD Tun Razak akan memulakan pelayaran ke tanah air pada 26 Jan 2010 dan dijangka tiba dua bulan kemudian.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata ketika ini kapal selam kedua negara itu sedang menjalani fasa kedua ujian di laut di perairan Cartagena, Sepanyol oleh Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari negara itu.

"KD Tun Razak dijadual diserah secara rasmi kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 25 Okt ini dan memulakan pelayaran pulang ke Malaysia pada 26 Jan 2010," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan ketibaan Kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman (KD TAR), di Pangkalan TLDM di sini semalam.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja DiHilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan berangkat ke majlis itu yang turut dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.

Abdul Aziz berkata KD TAR akan berada di Pangkalan TLDM Lumut sehingga 10 Sept ini sebelum belayar dan dijadual tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar pada 17 Sept untuk satu majlis sambutan ringkas oleh kerajaan negeri Sabah.

"Ini adalah kerana ramai di kalangan anggota masih mempunyai keluarga yang menetap di rumah keluarga Pangkalan TLDM Lumut. Ini memberi peluang kepada mereka berjumpa keluarga tercinta sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi berikutnya iaitu ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu yang merupakan 'home port' kepada kapal selam TLDM," katanya.

KD TAR dikendalikan Komander Zulhelmy Ithnain bersama 35 krew dan tiba di Pusat Hidrografi Nasional TLDM, Pulau Indah di Selangor pada Khamis lepas selepas perjalanan selama 55 hari mulai 11 Julai dari limbungan pembinaannya di Toulon, Perancis.

Sementara itu Abdul Aziz berkata TLDM memang mempunyai perancangan untuk menambah perolehan kapal selamnya tetapi ia tidak akan dilakukan secara mendadak dan dalam masa yang terdekat kerana perolehannya bergantung kepada keupayaan kewangan negara.

"Memang benar enam adalah satu angka yang ekonomik untuk dioperasikan sebagai satu skuadron kerana lebih kos efektif dan berkemampuan tinggi tetapi untuk memperolehi enam dalam tempoh terdekat mungkin satu yang di luar kemampuan negara," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Panglima Tentera Laut yang pertama, Laksamana (B) Tan Sri K. Thanabalasingam yang dilaporkan berkata TLDM memerlukan sekurang-kurangnya enam unit kapal selam bagi membentuk satu skuadron yang boleh beroperasi tanpa halangan.

Menurut Thanabalasingam yang mengetuai TLDM dari 1967 sehingga 1976, sekiranya salah sebuah daripada kapal selam negara mengalami kerosakan dan terpaksa dibaiki untuk tempoh lama, maka hanya ada sebuah lagi yang mampu beroperasi di laut.

Tiada ulasan: