Sabtu, 1 Ogos 2009

Teksi tak dapat kenakan kadar baru tambang

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kebanyakan pemandu teksi di Lembah Klang mungkin tidak mengenakan tambang baru mulai esok seperti yang diumumkan kerajaan baru-baru ini kerana masalah mendapatkan meter untuk disesuaikan dengan kadar baru itu.

Pengerusi Persatuan Pemilik dan Pemandu Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor, Yeoh Mot Lee, berkata pemilik teksi dijangka mengekalkan kadar tambang sekarang kerana kesukaran memperoleh meter dan mengambil masa untuk mendapatkan kelulusan selepas pemasangan.

“Pemilik teksi mesti ke pembekal meter untuk mendapatkan meter yang disesuaikan dengan struktur tambang baru sebelum menghantar kenderaannya ke Puspakom bagi pemeriksaan lanjut untuk kelulusan.

“Prosedur ini dijangka mengambil masa dua minggu tidak semua pengusaha teksi akan menyesuaikan tambang baru itu mulai esok,” katanya semalam.

Beliau berkata, walaupun pengusaha teksi dapat menghantar kenderaan ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut pada hujung minggu, ia tidak dapat disiapkan dalam masa sehari kerana banyak teksi turut berbuat demikian.

Yeoh berkata, beliau sudah memaklumkan kepada ahli untuk mengenakan tambang sekarang sehingga kenderaan mereka dihantar untuk pemeriksaan dan kelulusan Puspakom.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Aslah Abdullah, berkata ada 21,000 buah teksi beroperasi dan prosedur penyesuaian tidak dapat disiapkan sepenuhnya menjelang esok.

Mengenai bilangan penumpang, beliau berkata pengusaha meramalkan jumlah penumpang berkurangan 15 hingga 20 peratus bagi dua bulan pertama selepas tambang baru dilaksanakan.

Pada 17 Julai lalu kerajaan mengumumkan tambang teksi dinaikkan RM3 daripada RM2 sementara penumpang dikenakan tambang 10 sen bagi setiap 115 meter berbanding kini 150 meter.

Tiada ulasan: