Jumaat, 21 Ogos 2009

Sambutan merdeka di Parlimen

Oleh ROHANI IBRAHIM


KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 yang sebelum ini dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil ditukar ke pekarangan bangunan Parlimen.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim berkata, perubahan lokasi berkenaan adalah mengambil kira faktor bulan Ramadan dan penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) pada masa ini.

''Setelah membentangkan perkara ini kepada jemaah menteri kelmarin dan mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan, maka perayaan sambutan Hari Kebangsaan pada kali ini diputuskan supaya mengelak daripada perhimpunan besar-besaran.

''Pekarangan Parlimen dipilih kerana simbol legislatif negara ini tidak pernah menjadi lokasi majlis sambutan Hari Kemerdekaan. Sambutan di pekarangan Parlimen akan berlangsung secara sederhana,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Menjalurgemilangkan Kuala Lumpur di kementeriannya di sini hari ini.

Jelas beliau, perubahan lokasi sambutan Hari Kemerdekaan turut mengambil kira nasihat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bahawa virus wabak berkenaan mudah berjangkit melalui perhimpunan besar-besaran.

Selain itu, tambah Rais, kerajaan juga mengambil kira kebimbangan ibu bapa di atas penglibatan anak mereka ketika sambutan tersebut dilangsungkan kelak.

''Kementerian sebelum ini mempunyai dua pilihan untuk mengadakan acara berkenaan di pekarangan bangunan Parlimen atau Dataran Merdeka.

''Oleh itu, lokasi yang paling kecil, namun mampu memberikan impak kepada orang ramai selain mempunyai suasana muhibah dipilih,'' katanya.

Rais menambah, jalan ke bangunan Parlimen akan dipenuhi dengan barisan anggota daripada parti-parti kerajaan, pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mahasiswa institusi pengajian tinggi awam.

''Program-program merdeka yang dianjurkan pada tahun ini juga perlu menjurus kepada pengisian kemanusiaan atau sumber modal insan.

''Tidak seperti dulu, kita sering memperaga mesin, kereta dan peralatan. Tetapi kali ini, kita tonjolkan ketahanan modal insan dalam perjuangan bersama menjayakan gagasan 1Malaysia,'' jelasnya.

Tiada ulasan: