BERNAMA
Ketibaan bulan Ramadan bermula hari ini tidak mengubah momentum dan rutin kempen harian calon BN Rohaizat Othman.
Seperti lima hari lalu, pagi ini beliau ditemani beberapa petugas jentera pilihan raya BN berkempen dari rumah ke rumah seawal pukul 8 pagi.
Kali ini, kumpulan itu memasuki Kampung Permatang Rawa, Mukim 8, yang kebanyakan rumahnya adalah rumah papan dan terletak agak terpencil sedikit dari jalan besar menunju ke pekan Bukit Mertajam.
Dengan berjalan kaki kira-kira 500 meter melalui lorong-lorong kecil di
celah-celah rumah penduduk serta meredah kawasan semak, Rohaizat dan kumpulannya terus mengetuk pintu beberapa buah rumah di situ untuk menerangkan misi pembangunan yang akan dibawa BN ke kawasan itu.
Jelas sekali, antara rungutan yang didengari ialah mengenai kampung itu yang sering dilanda banjir kerana tiada perparitan serta kemudahan infrastruktur, antaranya jalan bertar menuju ke rumah mereka.
Bagi Rohaizat, itu merupakan perkara yang paling banyak diutarakan penduduk kepadanya sepanjang kempen mulai Selasa lepas di kawasan DUN Permatang Pasir.
"Ada di antara penduduk di sini mengadu rumahnya dinaiki air sehingga tiga kali setahun dan sebab itu saya jelaskan bahawa mereka perlu memilih parti yang boleh membantu mereka," katanya kepada pemberita yang mengikuti kempennya itu.
Baginya, setiap aduan penduduk yang diterimanya menjadi pendorong untuk beliau bekerja lebih kuat menarik keyakinan pengundi supaya memberi peluang kepada BN untuk mengubah kehidupan mereka itu.
Walaupun jadual kempennya padat dan hanya dapat berehat seawal pukul 2 pagi hampir setiap hari, beliau tetap bersemangat dan akan melipatgandakan usahanya dalam tempoh dua hari lagi sebelum tiba hari pengundian, 25 Ogos ini.
"Saya masih OK walaupun sudah kehilangan berat badan hampir dua kilogram sepanjang tempoh kempen ini. Pada bulan puasa, kempen berjalan seperti biasa dan disambung semula selepas sembahyang tarawih," katanya sambil tersenyum.
Rohaizat, 38, yang mewakili BN akan ditentang oleh Mohd Salleh Man, 52, dari PAS.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman dari PAS pada 31 Julai lalu kerana sakit jantung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan