Jumaat, 14 Ogos 2009

Penduduk Kampung Buah Pala akur perintah

Oleh Norakmah Mat Youb


GEORGETOWN: Selepas beberapa tahun berjuang untuk mendapatkan hak milik tanah di Kampung Buah Pala di sini, penduduk akhirnya akur kepada keputusan Mahkamah Persekutuan untuk mengosongkan tanah itu, semalam.

Mereka setuju mengosongkan rumah masing-masing secara aman pada 1 September ini selepas satu rundingan diadakan antara penduduk, polis dan pemaju walaupun sebelum itu berlaku kekecohan apabila mereka membantah tindakan pemaju yang hendak merobohkan rumah mereka.

Rundingan sejam itu membabitkan Pengarah Urusan Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd, Thomas Chan; Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abd Hamid dan Timbalan Setiausaha Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, C Thamaraj.

Pada rundingan itu, wakil penduduk menandatangani satu dokumen perjanjian di depan wakil Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan bersetuju untuk mengosongkan rumah masing-masing secara aman pada 1 September ini dengan syarat pampasan diberikan kepada mereka.

Pemaju pula bersetuju memberi tempoh sehingga akhir bulan ini kepada penduduk untuk keluar dari kawasan itu selepas menerima notis pengosongan, semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Azam berkata, penduduk bersetuju dan berjanji untuk mengosongkan rumah masing-masing dalam tempoh ditetapkan dengan syarat mereka mendapat pampasan sewajarnya.

"Mereka berjanji keluar secara aman dan tidak akan mengulangi perbuatan seperti hari ini (semalam). Malah, mereka kemungkinan merobohkan sendiri rumah masing-masing," katanya.

Sehubungan itu, Azam berkata, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik dilarang mengambil kesempatan dan mengeruhkan lagi keadaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Tharmaraj berkata, penduduk akan keluar dari kampung itu dengan aman jika pemaju memberi jaminan pampasan ditawarkan itu berbaloi untuk mereka.

"Kami berjanji akan keluar dalam tempoh diberikan tetapi kami juga mahu pemaju serius berhubung pampasan kepada kami," katanya.

Terdahulu, kampung itu kecoh apabila pemaju membawa lebih 100 pekerja dan empat jentolak untuk merobohkan 23 rumah penduduk terbabit.

Walaupun hujan seawal jam 8 pagi, penduduk menggunakan wanita dan kanak-kanak sebagai rantaian manusia dan tidak berganjak sehingga petang.

Keadaan tegang apabila wakil Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menyerahkan bailif kepada penduduk supaya mengosongkan rumah dalam tempoh 30 minit, bermula jam 10 pagi sehingga memaksa 100 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am mengawal keadaan.

Pemaju dan pekerja dihalang memasuki kawasan itu pada jam 11 pagi oleh penduduk yang berkumpul di Jalan Kaki Bukit, kira-kira 100 meter dari laluan masuk ke kampung itu.

Penduduk juga dikatakan mengumpul tahi lembu sebagai persediaan dan senjata untuk bertindak balas jika pekerja meneruskan hasrat merobohkan rumah mereka, malah mereka cuba menolak dan menghalang anggota FRU daripada membenarkan pekerja memasuki kawasan perkampungan sehingga menyebabkan beberapa penduduk pitam.

Tiada ulasan: