Jumaat, 21 Ogos 2009

Pemuda Pakatan dan BN berdebat 23 Ogos?

Dzulfikar Mashoor


BUKIT MERTAJAM : Kalau Pemuda Umno menjadikan isu 'Siapa Pengkhianat Melayu' sebagai modal bertemu pengundi, Pemuda Pakatan Rakyat petang tadi menjadikan isu 'Siapa Pengkhianat Negara' pula sebagai serangan balas untuk 5 hari berbaki kempen di N11 Permatang Pasir.

Ekoran itu, Pemuda Pakatan mencabar Pemuda BN berdebat secara terbuka mengenai kedua-duanya.

Merujuk surat yang ditandatangani Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan at-Tantawi, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Loke Siew Fook, debat itu dijadualkan pada Ahad 23 Ogos jam 9.30 malam di Permatang Tengah iaitu di sebuah kedai makan.

Wakil Pemuda Umno Rosli Hamid yang menerima surat jemputan itu berjanji akan menyerahkannya kepada Khairy.

"Bukan jaminan untuk saya kata Pemuda setuju, tapi saya akan berikan kepada Ketua Pemuda kami (Khairy)," katanya.

Debat Terbuka 'Siapa Pengkhianat Negara' anjuran Pemuda Pakatan Rakyat itu merupakan strategi terbaru pembangkang selepas Pemuda PAS sendiri gagal berwacana ilmiah dengan Khairy dalam isu 'Benarkah Umno Memperjuangkan Islam' sebelum ini.

Tekad Pemuda Pakatan mengadakan debat terbuka itu dikatakan untuk memastikan 39 peratus pengundi muda kekal memberi undi kepada calon PAS Mohd Salleh Man 25 Ogos depan.

Bagi Pemuda Pakatan, rekod menang kesembilan-sembilan peti undi saluran muda - saluran 5 (21-25), saluran 4 (26-40) dan saluran 3 (41-50) dalam pilihanraya umum ke-12 lalu tidak boleh disandarkan sepenuhnya bahawa PAS akan kekal di Permatang Pasir.

Pengundi muda merupakan masyarakat berfikir, membaca, aktif, akses internet serta tidak mudah terpengaruh oleh cakap-cakap kosong orang politik semata-mata.

Dalam kepercayaan Pemuda Pakatan, bukan sahaja isu 'Siapa Pengkhianat Melayu' patut dibincangkan, malah isu 'Siapa Pengkhianat Negara' juga perlu diperdebatkan, asalkan atas fakta dan rasional oleh semua pihak.

"Saya lihat isu itu (pengkhianat bangsa) diucapkan Umno dengan penuh emosi dan langsung tidak meningkatkan minda dan ilmu orang Melayu. Maka, setiap isu terutamanya berkaitan kepentingan negara perlu diperdebatkan secara ilmiah dan berfakta," jelas Badrul Hisham Shaharin.

Bercakap di depan Bangunan Umno Bahagian Permatang Pauh, Badrul berkata, jika Umno berani, mereka akan menyertai debat terbuka dan mempertahankan kenyataan Timbalan Presiden mereka Tan Sri Muhyiddin Yassin, Anwar Pengkhianat Bangsa, secara fakta dan ilmiah.

Jelasnya lagi, Ketua Pemuda Umno Mohd Khairy Jamaluddin sendiri pun tidak berupaya mempertahankan peribadi Muhyiddin yang dikatakan 'Pengkhianat Negara' ekoran menjual 51,170 hektar tanah Johor/negara kepada Singapura dengan harga RM350 juta sewaktu menjadi Menteri Besar Johor (1980).

Ahli Parlimen Jerai dari PAS, Mohd Firdaus Jaafar berharap Pemuda Umno dapat menyertai debat itu untuk menjernihkan kesangsian rakyat kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu.

"Isunya (siapa pengkhianat) sekarang bukan lagi ke atas bangsa Melayu, Cina, India dan sebagainya. Tetapi, melibatkan kepentingan negara."

Kelmarin, semua media melaporkan Muhyiddin menafikan pendedahan tersebut, dan mengganggapkan dakwaan itu sebagai fitnah.

"Saya ingin menjelaskan bahawa saya (semasa menjadi Menteri Besar Johor) tidak pernah menjual tanah walau seinci pun kepada Singapura dan ini adalah fitnah semata-mata." _

1 ulasan:

Unknown berkata...

SALAM,

www.duniacacamarba.blogspot.com