Laporan : ZAINUDDIN ZAIN
ALOR STAR: “Saya bimbang jika dia berani berbuat demikian ke atas anak saya, mungkin dia akan bertindak lebih kejam kerana semua pelajar adalah orang kurang upaya (OKU),” kata Jaafar Ismail, 41, bapa kepada seorang pelajar OKU yang disyaki diliwat di sebuah sekolah pendidikan khas di sini.
Katanya, lebih membimbangkan, suspek yang disyaki meliwat anak lelakinya berusia 13 tahun dan mengalami cacat pendengaran adalah lelaki normal dan berusia dalam lingkungan 20-an.
Jaafar yang bekerja sebagai buruh berkata, kejadian dipercayai berlaku di asrama sekolah berkenaan, kira-kira jam 3 pagi, 9 Ogos lalu.
“Namun saya hanya dimaklumkan oleh pengetua sekolah berkenaan dua hari selepas itu. Pengetua hanya memohon maaf di atas kejadian yang berlaku tanpa membawa anak saya ke hospital atau membuat laporan polis.
“Apabila saya membawa anak pulang pada hari sama (11 Ogos), dia yang ditempatkan di asrama sekolah sejak tiga tahun lalu mengadu sakit di duburnya lalu saya membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
“Di HSB, doktor mengesahkan anak saya diliwat. Kes itu kini diserahkan kepada Bahagian Jenayah Seksual IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kota Star untuk siasatan,” katanya ketika ditemui di IPD berkenaan, semalam.
Anaknya yang dimasukkan ke wad selama tiga hari hanya dibenarkan keluar kelmarin dan kini mengalami trauma teruk, selain menjadi pendiam dan sering merengek kesakitan.
Jaafar juga bimbang kerana berdasarkan sumber sekolah berkenaan, suspek adalah penagih dadah, sekali gus kemungkinan dia menyebarkan penyakit berbahaya kepada anaknya yang juga anak kedua daripada tiga beradik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab yang mengesahkan kejadian itu berkata, suspek dikenal pasti tetapi tindakan belum diambil berikutan kenyataan mangsa hanya dapat dirakam hari ini.
“Kita perlukan penterjemah kerana mangsa adalah OKU dan pihak sekolah (pendidikan khas) akan menyediakan seorang penterjemah esok (hari ini),” katanya.
Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 377 (c) Kanun Keseksaan iaitu peruntukan mengenai jenayah seks luar tabii tanpa kerelaan, dengan pesalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan