Rabu, 19 Ogos 2009

Harga kenderaan dijangka turun

Oleh M Hifzuddin Ikhsan


KUCHING: Pembaharuan di dalam Dasar Automotif Nasional (NAP), yang dijangka akan diumumkan kerajaan dalam tempoh terdekat, akan membolehkan penduduk di negara ini menikmati harga kenderaan yang lebih rendah antara 10 dan 15 peratus berbanding ketika ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, berkata ketika ini dasar berkenaan masih pada peringkat perbincangan dengan Perdana Menteri dijangka mengumumkan dasar diperbaharui berkenaan dalam masa terdekat.

Katanya, walaupun harga kenderaan dijangka akan lebih murah, kerajaan tetap akan meneruskan usaha melindungi pengeluar kenderaan tempatan termasuk pekerja dan pengusaha yang terbabit dalam sektor hiliran-nya.

"Selaras dengan perlaksanaan Zon Perdagangan Bebas (FTA) yang akan dilaksana tahun depan, NAP perlu diperbaharui bagi membolehkan pengeluar kereta tempatan terus menikmati faedah dan bagi menjamin ia dapat terus bersaing dalam pasaran terbuka.

"Kerajaan telah banyak membuat pelaburan di dalam syarikat pengeluar kenderaan dan semestinya kita mahu melindungi wang yang telah dilaburkan. Saya merasakan dasar baru ini akan memberi faedah sama rata kepada semua pihak," katanya pada sidang media selepas menghadiri Seminar Pelaburan dan Dialog Perdagangan 2009 di sini, semalam.

Dengan FTA dilaksanakan sepenuhnya bermula Januari 2009, hampir 20,000 produk tempatan berdepan persaingan terbuka dengan barang import dan ia jelas menimbulkan kebimbangan di kalangan usahawan tempatan.

Mustapa berkata, terdapat 100,000 pekerja industri automotif negara dengan 22,000 daripadanya dari Proton serta Perodua dan NAP tidak akan menyebabkan mereka berhadapan masalah serius.

"Apa yang penting NAP akan memberi kelebihan kepada pembeli yang dijangka menikmati harga lebih rendah selepas kerajaan sedia mengkaji kadar cukai dan tarif semasa yang dikenakan ketika ini.

"Pada masa sama pengeluar, pekerja dan pengusaha yang terbabit dalam sektor automotif tempatan perlu dilindungi bagi memastikan ia tidak terjejas akibat dari dasar kerajaan," katanya.

Mengulas mengenai caj kargo yang dikenakan ke atas semua barang dagangan yang dibawa masuk ke Sarawak, Mustapa berkata, kajian lebih lanjut perlu dibuat berikutan selepas setahun ia dilaksanakan tidak ada tanda harga barangan di sini dapat diselaraskan dengan di Semenanjung.

Tiada ulasan: