Isnin, 3 Ogos 2009

572 bantah ISA dibebas

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Khairul Azran Hussin dan Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


KUALA LUMPUR: Seramai 572 daripada 589 individu yang ditahan kerana menyertai perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di beberapa lokasi di ibu negara kelmarin, dibebaskan polis sehingga jam 9.15 malam tadi.

Mereka termasuk dua remaja berusia 13 tahun dan 16 tahun, yang dibebaskan secara berperingkat di Balai Polis Bukit Jalil sejak kelmarin selepas keterangan mereka diambil.

Baki 17 orang, termasuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R Sivarasa, masih ditahan di balai polis berkenaan dan disoal siasat mengikut Akta Pertubuhan 1966 serta Akta Polis 1967.

Difahamkan, Sivarasa dan 16 yang lain sudah direman selama dua hari dan mereka dijangka didakwa di Mahkamah Jalan Duta di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang dihubungi Berita Harian malam tadi mengesahkan sudah mengeluarkan arahan supaya pendakwaan terhadap mereka yang direman segera dibuat.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang dihubungi malam tadi mengesahkan semua yang masih ditahan adalah lelaki.

Katanya, proses menahan reman tahanan masih dibuat dan setakat jam 9 malam tadi, 17 sudah direman selama dua hari.

Dalam pada itu, seorang peguam yang menguruskan tahanan di balai polis sama, N Ravi berkata, Sivarasa adalah antara tahanan yang direman polis.

Kekecohan kecil turut berlaku di pekarangan balai polis itu semalam apabila hampir 100 ahli keluarga tahanan berkumpul bagi melahirkan kekecewaan.

Malam tadi, kira-kira 20 orang berkumpul di hadapan balai polis itu bagi menyalakan lilin sebagai tanda sokongan kepada tahanan.

Polis hanya membenarkan kumpulan itu berbuat demikian selama minit, sebelum mengarahkan mereka bersurai.

Tiada ulasan: