Jumaat, 31 Julai 2009

Penyokong Pakatan, MIC bertembung di ibu pejabat MIC

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN


KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 penyokong MIC dan Pakatan Rakyat 'bertembung' di luar bangunan Ibu Pejabat MIC di Jalan Rahmat di sini berhubung isu Maika Holdings dan Kg. Buah Pala, semalam.

Kedua-duanya menunjukkan 'kekuatan' masing-masing apabila kira-kira 500 penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) mula berkumpul di luar bangunan MIC.

Mereka membawa kain rentang tertulis 'perhimpunan demi keadilan kepada pelabur-pelabur Maika Holdings' dan 'pulangkan hak kami'.

Perhimpunan tersebut diketuai Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam.

Pada pukul 12 tengah hari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Ronnie Liu tiba di bangunan itu dan bertemu dengan Ketua Pemuda MIC, T Mohan untuk menyerahkan memorandum berkaitan tuntutan Maika Holdings.

Bagi 'melawan' penyokong PKR, kira-kira 700 penyokong MIC turut berhimpun melaungkan 'Pakatan penipu' dan memegang kain rentang tertulis 'Pakatan Rakyat aniaya penduduk Kampung Buah Pala, pulangkan tanah kami, Kampung Buah Pala'.

Ekoran perhimpunan itu, kesesakan lalu lintas teruk selama dua jam berlaku di Jalan Ipoh dan Jalan Tun Razak di sini sejak pukul 11 sehingga polis terpaksa menutup Jalan Ipoh sehingga pukul 1 tengah hari.

Antara pemimpin DAP dan PKR yang turut serta dalam perhimpunan itu adalah Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran; Timbalan Setiausaha Agung DAP, Prof P. Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang; Naib Presiden PKR, R. Sivarasa.

Ketika kejadian itu, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MIC sedang berlangsung dan dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Seri S Samy Vellu.

Anak Samy Vellu, Vell Paari hadir di pekarangan bangunan MIC ketika itu. Isnin lalu, Vell Paari yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings berkata, beliau sedia untuk bertemu dengan sesiapa hari ini untuk menerangkan keadaan sayap pelaburan MIC itu.

Dalam satu sidang media di aras tiga, bangunan MIC, Vell Paari berkata, pihaknya telah menerima memorandum yang diserahkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Ronnie Liu.

“Selepas menyerahkan memorandum saya turut memberi penjelasan kepadanya (Ronnie Liu) mengenai Maika Holdings.

“Dalam memorandum berkenaan mereka (Pakatan Rakyat) telah meminta kami (Maika Holdings) menjelaskan liabiliti (hutang) yang ditanggung oleh Maika Holdings,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata, perhimpunan itu yang diketuai oleh beberapa pemimpin parti DAP dan PKR bermula pukul 11.30 pagi di sebuah hospital swasta berhampiran Ibu Pejabat MIC sebelum berarak menuju ke bangunan tersebut.

Menurut beliau, untuk mengelakkan berlaku kekecohan dan pergaduhan, polis mengambil tindakan dengan menempatkan beberapa anggota polis dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

"Polis telah dapat mengawal keadaan dan tiada sebarang kekecohan yang berlaku, serta tiada tangkapan dibuat," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa kain rentang yang dibawa dan menyuraikan perhimpunan itu pukul 1 tengah hari.

Tiada ulasan: