MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN
Tindakan sebahagian besar jabatan kerajaan pusat di Selangor yang tidak mempamerkan potret Menteri Besar, diselar sekeras-kerasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, tindakan mereka bercanggah dengan keputusan rakyat, sekaligus tidak menghormati Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan semua jabatan kerajaan pusat di negeri Selangor yang tidak memasang potret Yang Amat Berhormat, Dato’ Menteri Besar iaitu YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut yang bercanggah dengan keputusan rakyat dan sama sekali tidak menghormati Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kerana YAB Dato’ Menteri Besar adalah dilantik oleh Tuanku”, kata Ng Suee Lim.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan usul tersebut pada Persidangan Dewan Negeri Selangor yang berakhir pada 15 Julai lalu.
Menurut Ng, terdapat agensi dan jabatan kerajaan yang sering berurusan dengan orang ramai seperti Balai Polis, Hospital dan Kemas, juga masih engkar berbuat demikian.
“Masih juga terdapat di setengah tempat khususnya agensi kerajaan dan jabatan kerajaan pusat di negeri Selangor sebagai contoh di Balai Polis, Hospital, Kemas dan sebagainya masih tidak memasang gambar atau potret YAB Tan Sri Dato Menteri Besar sama ada sengaja atau sebaliknya”, katanya.
Sebaliknya, pejabat kerajaan negeri Selangor tidak bersikap sebegitu, malah turut menggantung potret Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana menghormati pilihan rakyat sebagai Perdana Menteri Malaysia.
“Kenapa perkara sedemikian masih timbul sedangkan di Pejabat Menteri Besar Selangor sendiri Tingkat 21 juga dipasang potret YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia, walaupun beliau bukan rakan seperjuangan dan seangkatan dengan kita”, tegas Ng lagi.
TV Selangor membuat tinjauan berhubung selepas usul tersebut diluluskan pada persidangan Dewan Negeri Selangor, baru-baru ini.
Hasil tinjauan, mendapati sesetengah pejabat agensi kerajaan pusat seperti Pejabat POS Malaysia dan Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU), tidak mempamerkan potret Menteri Besar.
Malah, mereka juga enggan memberi kerjasama semasa diminta menjelaskan sikap mereka yang jelas tidak menghormati pemimpin pilihan rakyat.
Bagaimanapun, pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didapati mengambil inisiatif mempamerkan potret Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Kita memang dah jadi procedure, procedure kita dah jadi arahan am pejabat, untuk menggantung siapa sajalah yang gambar-gambar pegawai dan pemimpin negeri di sesebuah negeri. Bila berubah jer kita, kita dapat sekular dari kerajaan negeri, kita gantung mengikut tatacara biasa lah tak kira siapa”, kata Ketua Cawangan KWSP Shah Alam.
Selain itu, tinjauan turut mendapat respon baik daripada pemimpin di peringkat kampung dan daerah iaitu Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di Kg. Padang Jaya, Shah Alam.
Mereka mengambil langkah drastik dengan menukar potret pemimpin baharu sebagai sokongan dan komitmen kepada kerajaan Selangor terkini.
Malah mereka berpendapat keengkaran sebahagian besar pejabat kerajaan pusat berbuat demikian perlu diambil tindakan dan diberi amaran keras kerana tindakan mereka ini jelas tidak menghormati Menteri Besar.
“Kita telah pun mengambil langkah yang drastik kerana kita ingin melihat bahawa balai raya kita yang ditadbir oleh JKKK di Kota rakyat nie telah ada gambar-gambar tersebut untuk menunjukkan sokongan kita dan komitmen kita kepada kerajaan negeri baru, Selangor khasnya.
“Tindakan susulan perlu diambil dan diberi amaran keras kepada jabatan-jabatan ini kerana mereka telah melanggar ataupun tidak menghormati kedudukan Menteri Besar sendiri”, kata Setiausaha Balai Raya Kampung Padang Jawa, Shah Alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan