Rabu, 29 Julai 2009

Empat mati, H1N1 'membimbangkan'

MALAYSIA KINI


Seorang wanita berusia 20 tahun meninggal dunia pagi semalam akibat jangkitan selesema A (H1N1), menjadikan angka kematian di negara ini meningkat kepada empat orang sejak seminggu lalu.

Perkembangan ini disifatkan oleh pihak berkuasa kesihatan sebagai "membimbangkan", lapor Bernama.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dipetik berkata wanita yang mengalami masalah kegemukan mati di Hospital Melaka akibat pneumonia teruk yang dijangkiti dari persekitaran, dan palitan tekaknya mengesahkan dijangkiti virus itu.

Pesakit mula demam, sakit tekak dan batuk sejak 16 Julai lalu, katanya lagi.

"Pada 8.30 malam hari yang sama kes dipindahkan ke unit rawatan rapi kerana mengalami sesak nafas dan memerlukan bantuan alat pernafasan, dan dua hari lepas, dia mengalami pelbagai komplikasi klinikal termasuk septicemia disebabkan oleh pneumonia, kegagalan buah pinggang dan kegagalan fungsi paru-paru sebelum meninggal dunia jam 9.40 pagi semalam," beliau dipetik berkata.

Dr Mohd Ismail - sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pandemik Influenza A (H1N1) - berkata kes kematian yang semakin meningkat adalah "membimbangkan", lebih-lebih lagi kerana ia disebabkan oleh rawatan yang lewat, sama ada disebabkan oleh pesakit yang lewat mendapatkan rawatan atau doktor yang gagal mengesan jangkitan itu lebih awal.

Tambahnya, mesyuarat hari ini mengambil ketetapan bahawa semua
pengamal perubatan sama ada di hospital atau klinik termasuk swasta hendaklah memberikan tahap pemerhatian lebih tinggi kepada kes-kes pneumonia yang disebabkan oleh influenza A (H1N1).

"Kes-kes pneumonia terutama yang teruk hendaklah diuji kemungkinan jangkitan influenza A (H1N1)," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata semua kes pneumonia teruk yang dirawat di hospital perlu diambil palitan tekak untuk ujian influenza A (H1N1) dan dimulakan rawatan antivirus serta diambil sejarah jangkitan penyakit seakan-akan selesema (ILI) dan influenza A (H1N1).

"Selepas berlaku empat kematian, saya harap orang ramai akan lebih
berhati-hati. Jika ada yang tidak sihat dan mempunyai simptom seperti sesak nafas dan sebagainya, gunakan penutup muka dan segera dapatkan rawatan.

Dr Mohd Ismail berkata semua kes pneumonia yang teruk yang disyaki disebabkan oleh influenza A (H1N1) juga hendaklah diberi rawatan antivirus influenza dengan dos diganda.

Mengenai situasi semasa, Dr Mohd Ismail berkata sejumlah 47 kes baru dilaporkan di seluruh negara dan kesemuanya merupakan kes tempatan.

Sebanyak 27 daripadanya meibatkan kejadian dari enam gugusan penularan baru, 10 kes dari lima gugusan sedia adam manakala 10 lagi dikelaskan kes-kes terpencil.

Semalam, seorang lelaki rakyat tempatan berusia 42 tahun mati akibat wabak itu setelah disahkan menghidap selesema A (H1N1) Khamis lalu.

Si mati yang mengalami pelbagai komplikasi meninggal dunia pada 27 Julai jam 4.40 petang akibat pneumonia yang serius dengan kegagalan beberapa organ setelah 10 hari mendapat rawatan.

Korban kedua wabak itu di negara ini, lelaki 46 tahun yang meninggal dunia di hospital swasta di Subang Jaya, 12.35 tengahari Ahad.

Lelaki tersebut dilaporkan mati akibat "pneumonia teruk dengan kegagalan pernafasan bersama kejutan septisemia dan kegagalan buah pinggang akut" selepas tujuh hari di unit rawatan rapi di hospital swasta di Subang Jaya.

Rakyat tempatan itu yang bekerja di Belgium pulang pada 4 Julai lalu mula mengalami demam serta batuk selepas bercuti bersama keluarga di Langkawi pada 13 Julai.

Pada 23 Julai lalu, seorang pelajar Indonesia berusia 30 tahun yang menuntut di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur menjadi korban pertama berkaitan wabak selesema A (H1N1).

Tiada ulasan: