UTUSAN ONLINE
BUKIT MERTAJAM - Pusat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Syruz di sini antara empat pusat latihan di Pulau Pinang yang ditutup seminggu akibat penularan virus selesema babi atau influenza A (H1N1).
Difahamkan, kem tersebut diarah tutup tengah hari ini sebagai langkah berjaga-jaga selepas 28 daripada 260 pelatihnya menunjukkan simptom dijangkiti virus tersebut termasuk demam, batuk dan sakit dada sejak beberapa hari lalu.
Seorang Pegawai Jabatan Kesihatan yang dihubungi mengesahkan penutupan kem tersebut tetapi tidak menjelaskan jumlah sebenar pelatih yang disyaki dijangkiti.
''Notis arahan menutup kem tersebut sudah dikeluarkan untuk mengelak penularan penyakit," katanya enggan mengulas lanjut.
Tiga lagi pusat latihan yang ditutup adalah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Arumugam Pillai Nibong Tebal, Kolej Kejururawatan Kementerian Kesihatan di sini dan Pusat Latihan Malaysia Airport Berhad (MAB) di Bayan Lepas.
Ketiga-tiga pusat itu ditutup sejak semalam tetapi jumlah sebenar pelatih pusat latihan terbabit yang disyaki dijangkiti virus tersebut masih belum dapat dipastikan.
Seorang pegawai pengurusan ILP Arumugam Pillai yang dihubungi mengesahkan pusat latihan itu diarah tutup selepas beberapa pelajarnya menunjukkan simptom virus berkenaan pada Sabtu lalu.
Utusan Malaysia difahamkan, salah seorang warden di pusat latihan itu turut dikuarantin seminggu selepas menghantar pelajar yang dijangkiti virus tersebut ke hospital.
Tinjauan mendapati sekeping notis arahan tutup premis oleh Jabatan Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) terpampang di pintu pagar utama pusat latihan tersebut.
Rabu lalu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Permatang Pauh, di sini ditutup seminggu selepas 36 pelajarnya disyaki dijangkiti virus berkenaan diikuti penutupan Politeknik Seberang Perai, empat hari kemudian atas sebab sama.
Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Aik Keow, Telok Air Tawar, dekat sini pula menjadi sekolah pertama di negeri ini diarah tutup akibat H1N1 selepas 16 pelajarnya disahkan positif virus berkenaan, Ahad lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan