Rabu, 8 Julai 2009

Kos baik pulih Stadium Larkin RM9.5 juta

UTUSAN ONLINE


JOHOR BAHRU - Kos membaik pulih Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin di sini termasuk menggantikan bumbung tempat duduk utama yang diragui tahap keselamatannya dianggarkan menelan belanja melebihi RM9.5 juta.

Menurut kenyataan Majlis Sukan Negeri Johor, kos itu melibatkan penggantian bumbung sebanyak RM2.5 juta, penurapan semula trek larian lapan lorong (RM3.6 juta) dan baik pulih padang serta sistem saliran (RM1.3 juta).

"Kos pemasangan jubin pula dianggarkan sebanyak RM1 juta, pemasangan kekisi tahan karat (RM432,000) dan kos luar jangka (RM675,500)," kata kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan itu juga menyatakan, bumbung tempat duduk utama Stadium Tan Sri Hassan Yunos telah berusia lebih daripada 17 tahun dan telah berkarat dengan beberapa bahagian didapati bocor.

Mengenai penurapan semula trek larian, kenyataan itu menyebut, trek sedia ada telah dibina pada 1991 dan kini lapisan getah pada trek tersebut semakin menipis dan terdapat kesan 'koyak'.

Padang stadium itu pula menggunakan rumput jenis Bermuda yang telah digunakan sejak Johor dipilih sebagai gelanggang Kejohanan Bolasepak Piala Remaja Dunia 1997, kata kenyataan itu.

"Namun setelah 10 tahun, padang ini menghadapi masalah penyenggaraan yang amat sukar kerana terdapat rumput-rumput liar yang dibawa melalui udara atau burung.

"Sistem perparitan juga mula tersumbat menyebabkan air bertakung apabila hujan dan lambat menyerap air ke dalam sistem perparitan," katanya.

Sementara itu, besi kekisi di stadium itu juga berusia lebih daripada 15 tahun dan mula berkarat sehingga dikhuatiri membahayakan keselamatan pengguna atau penonton di stadium.

Bagi pemasangan jubin pula, menurut kenyataan itu, ia perlu dilakukan memandangkan dinding pembahagi tingkat di stadium itu terdedah pada cuaca menyebabkan ia mudah diserang kulat sehingga mencacatkan penglihatan.

Semua kerja membaik pulih itu amat penting kerana stadium itu dibina sejak 1964 dan merupakan antara stadium yang 'tertua' di negara ini.

Tiada ulasan: