Isnin, 20 Julai 2009

Johan qari siap sedia tilawah antarabangsa

BERITA HARIAN ONLINE


KUCHING: Awangku Omar Asfuaddin Awang Hamdan, 31, menggunakan tempoh dua minggu dari sekarang mempersiapkan diri sebagai wakil negara ke Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur. Tilawah tahun itu dijadual berlangsung lapan hari mulai 5 Ogos.

Awangku Omar yang berasal dari Bintulu berkata, tempoh singkat itu diguna sepenuhnya bagi melancar, sekali gus memperbaiki mutu bacaan dengan beberapa guru al-Quran tempatan.

Katanya, jadual sesi latihan untuk memperbaiki mutu bacaan sebagai persediaan ke pertandingan itu sudah diatur.

“Saya gunakan peluang itu bagi membuktikan Malaysia juga mampu menjuarai tilawah antarabangsa.

“Dengan bimbingan beberapa guru saya terus berusaha untuk menjulang sekali lagi nama Sarawak pada tilawah itu,” katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini, semalam.

Turut hadir menyambut kepulangan beliau yang bekerja di Tabung Baitulmal (Baitulmal) Bintulu ialah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman; Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Putit Matzen dan Pengurus Besar, Tabung Baitulmal (Baitulmal) Sarawak, Abang Mohammad Shibli Abang Mohd Nailie.

Ahad lalu, Awangku Omar muncul johan qari Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-52, selepas mendapat 81 markah mengalahkan peserta tuan rumah, Anuar Husin yang muncul naib johan dengan 80.33 markah diikuti Abdullah Abdul Wahid dari Sabah, ketiga memperoleh 79.67 markah.

Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman dari Perak mengekalkan kejohanan qariah, diikuti Nor Azrah Ayub dari Johor dan Normalina Alias dari Wilayah Persekutuan, ketiga.

Sementara itu, Daud berkata, peluang yang diperoleh qari Sarawak dalam tilawah antarabangsa membuktikan bakat membaca al-Quran penduduk Islam tempatan.

“Kita bangga 26 tahun menunggu iaitu selepas kemenangan Ismawi Duet, pada 1983, akhirnya gelaran juara kembali menjadi milik qari Sarawak,” katanya.

Tiada ulasan: