Jumaat, 18 Mei 2018

Instagram Dr Mahathir cecah satu juta pengikut

MALAYSIAKINI

   
Akaun laman sosial Instagram milik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mencecah satu juta pengikut selepas genap dua bulan diwujudkan.

Justeru, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pengikutnya sambil memuat naik sekeping gambar bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

“Hari ini laman instagram saya sudah mencecah 1 juta pengikut. Terima kasih. Sosial media adalah satu platform penting untuk mendapatkan maklumat yang betul dan mengeratkan hubungan.

“Gunakan sebaiknya. Selamat menyambut Ramadan Al Mubarak dari saya dan isteri,” katanya menerusi akaun Instagramnya chedetofficial, semalam.

Gambar tersebut menerima 247,000 ‘likes’ dan 5,340 komen daripada netizen setakat 6.50 petang semalam.

Pengerusi Pakatan Harapan yang mencipta sejarah apabila mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri Malaysia bagi kali kedua pada usia 92 tahun itu memulakan akaun Instagram pada 15 Mac lepas.

Angka pengikut di akaun rasmi beliau meningkat dengan pantas selepas pengumuman keputusan pilihan raya umum ke-14 yang menyaksikan Pakatan Harapan memenangi pilihan raya itu.

Sehingga kini, Dr Mahathir hanya mengikuti tujuh akaun Instagram termasuklah Instagram penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin, @ctdk.- Bernama

Tiada ulasan: