Sabtu, 11 November 2017

Siasat Ambiga: Siasat pun salah, tak siasat pun salah, kata Fuzi

 
Ketua polis negara menjelaskan keterangan peguam terkenal itu perlu diambil kerana ada laporan polis dibuat terhadapnya. 


Mohamad-Fuzi-Harun-Ambiga

KUALA LUMPUR: Polis menolak dakwaan siasatan ke atas Datuk S Ambiga yang dinamakan dalam pembelaan kes saman antara editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertujuan menakut-nakutkan peguam itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata keterangan Ambiga perlu diambil kerana ada laporan polis dibuat terhadapnya dan polis sekadar menjalankan tugas.

“Terdapat laporan polis yang dibuat, jadi kita kena buka siasatan dan selepas semua kenyataan dan siasatan dibuat kami akan hantar kepada pihak berkuasa masing-masing untuk diambil tindakan susulan,” kata Fuzi pada sidang media selepas lawatan kerja ke Unit Tindakan Khas (UTK) di Cheras hari ini.”

“Kita siasat akan dipersalah, tak siasat pun akan dipersalah,” tambahnya.

Ambiga disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kerana mendatangkan khianat awam, berdasarkan laporan yang dibuat Pengerusi Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM) Datuk Zulkarnain Mahdar.

Seksyen Kanun Keseksaan itu menyentuh kesalahan mengedarkan bahan yang menyebabkan kegentaran kepada awam, manakala seksyen Akta SKMM itu pula menyentuh kesalahan memulakan penghantaran komunikasi dengan niat untuk menganiayai orang lain.

Beliau berkata polis mengutamakan laporan Zulkarnain itu kerana keseriusan tuduhan yang dikaitkan dengan Ambiga.

“Kita perlu melakukan siasatan dengan betul terhadap tuduhan tersebut dan tuduhan itu sangat serius kerana tuduhan terima RM90 juta yang dibuat tidak sedikit,” kata Fuzi.

Beliau berkata demikian selepas Badan Peguam Malaysia mengutuk serangan ke atas Ambiga, susulan keputusan polis menyiasat peguam itu. Presiden George Varughese berkata, Ambiga nampaknya menjadi sasaran dan memberi amaran gangguan atau tindakan menakut-nakutkan sama dengan menghina mahkamah di United Kingdom.

Pada 29 Oktober lalu, media melaporkan Clare dalam tuntutan balas terhadap saman fitnah difailkan Hadi mendakwa beliau dan Ambiga ada bercakap mengenai Datuk Seri Najib Razak, 1MDB dan PAS pada Julai 2016.

“Ambiga memberitahu defendan sumbernya yang dikatakan boleh dipercayai, menganggarkan jumlah yang dibayar itu sekitar RM90 juta,” kata Clare dalam afidavitnya bertarikh 11 Oktober lalu.

Clare dalam pembelaannya menyenaraikan sekurang-kurangnya 10 pemimpin PAS dari kumpulan ulama yang didakwa menerima wang daripada dana disyaki milik 1MDB.

Tiada ulasan: