Khamis, 16 November 2017

Banjir: Lebih 1,000 mangsa dapat rawatan di Pulau Pinang

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 mangsa mendapat rawatan berikutan bencana banjir yang melanda Pulau Pinang sejak tiga minggu lalu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Selain itu, katanya, tiada peningkatan kes tertentu yang boleh dikaitkan dengan bencana itu.

“Kebanyakan kemudahan kesihatan di Pulau Pinang sudah boleh digunakan seperti biasa. Namun, sebuah klinik desa di Kepala Batas masih belum berfungsi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Deepavali anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan; Pemangku Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri S.K. Devamany; Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie serta Anggota Lembaga Pengarah TNB, Datuk A. Sakthivel.

Seramai 250 penerima daripada tujuh persatuan kebajikan mendapat sumbangan wang tunai daripada TNB pada acara tahunan yang disambut penuh meriah itu.

Sementara itu, Dr Subramaniam yang juga Presiden MIC berkata parti berkenaan sudah membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang bakal menyaksikan MIC mempertaruhkan 50 hingga 60 peratus calon baharu.

“Kita telah kita kenal pasti calon dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pun sudah diberi senarai calon itu.

“Setiap kawasan kita ada tiga hingga empat calon dan mereka perlu melalui saringan terlebih dahulu,” katanya.–Bernama

Tiada ulasan: