Selasa, 7 November 2017

ADUN BN terus desak Selangor laksana pendidikan percuma

MALAYSIAKINI
 


Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) terus mendesak kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali melaksanakan pendidikan percuma di semua institusi pengajian tinggi di bawah seliaan negeri itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Zohdi berkata pelaksanaan pendidikan percuma perlu memandangkan rakyat Selangor dahagakan janji pilihan raya yang dibuat sebelum ini oleh kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Bajet Pakatan Harapan sering menceritakan soal pendidikan percuma, tetapi saya mahu bertanya adakah bajet kali ini mempersoalkan apa yang berlaku kepada dua institusi pendidikan kerajaan negeri sedia ada.

"Saya ingat menerusi Buku Jingga pada tahun 2013, mereka meuar-uarkan memberi pendidikan percuma namun selepas berjaya perintah negeri satu pendidikan pencuma tidak diberikan.

"Kerajaan (negeri) ada Unisel dan KUIS, mengapa tidak diperjuangkan kedua intitusi ini dengan diberi pendidikan percuma terlebih dahulu?

"Jika tidak, pada saya omong-omong kosong seperti dongeng mereka," kata Budiman ketika sesi perbahasan pembentangan Bajet Selangor 2018 di sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

Selain itu, Budiman menambah soal pendidikan percuma juga langsung tidak disebut dalam Bajet 2018 Selangor yang dibentangkan baru-baru ini.

Bagaimanapun, ADUN Kota Anggerik Yaakob Sapari bangkit mempertahankan kerajaan negeri dengan menyatakan bahawa pendidikan percuma hanya akan dilaksanakan jika HARAPAN menawan Putrajaya.

"Adakah yang berhormat sedar pendidikan adalah (tanggungjawab) persekutuan dan negeri tidak ada kuasa penuh dalam pendidikan di Selangor," kata Yaakob.

Mengulas lanjut, Budiman yang juga anggota parlimen Sungai Besar meminta kerajaan Selangor tidak menjadikan soal pendidikan sebagai modal politik semata-mata.

"Soal pendidikan pencuma ini jangan jadikan mainan politik, jangan jadikan pendidikan seperti janji politik. Kerana rakyat negeri ini dahagakan pendidikan percuma," tegas Budiman.

Sebelum ini, tuntutan agar Selangor melaksanakan pendidikan percuma turut disuarakan oleh gabungan NGO Malaysia yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Jamal Yunos.

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: