DALAM rakaman khas beliau bagi mengutuk
pembentangan huraian Rang Undang-Undang Persendirian Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 oleh Presiden PAS
merangkap Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam
sidang Dewan Rakyat Khamis lalu, Setiausaha Publisiti DAP merangkap Ahli
Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata:
“Now, every opposition (member) has the right to table a private
member’s bill or opposition’s motion, but the question is, in the
history of Malaysia, never has such motions been allowed to get onto the
floor. In normal parliamentary democracies, yes, opposition members’
bills actually get the chance to be heard on the floor, but not in
Malaysia.”
(“Sekarang, setiap Ahli Parlimen pembangkang mempunyai hak untuk
membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian atau usul pembangkang,
tetapi soalannya ialah, dalam sejarah Malaysia, tidak pernah usul
sebegini dibenar untuk dibentangkan. Dalam demokrasi berparlimen biasa,
ya, Rang Undang-Undang Ahli-Ahli Parlimen pembangkang sebenarnya
berpeluang untuk dibentangkan, tetapi tidak di Malaysia.”)
Dalam catatan muka buku beliau Khamis lalu juga Tony Pua menyebut:
“Opposition motions and bills have never made it to the House Floor
for debate in the history of Malaysian Parliament, because BN controls
what gets tabled, in collusion with the House Speaker.”
(“Usul dan Rang Undang-Undang Persendirian pembangkang tidak pernah
dibenar untuk dibahaskan dalam sejarah Parlimen Malaysia, kerana BN
mengawal apa yang boleh dibentangkan, melalui persepakatan dengan Yang
Dipertua Dewan.”)
Hakikatnya, berdasarkan sejarah Parlimen Malaysia, sudah banyak kali
Usul dan Rang Undang-Undang Persendirian pembangkang dibenar bukan
sahaja untuk dibentangkan, malah untuk dibahaskan dan diundi juga.
Pada Isnin, 24 Oktober 1977, tiga Rang Undang-Undang Persendirian
dikemukakan oleh dua Ahli Parlimen DAP, iaitu Ngan Siong Hing (Kinta)
dan Lim Kit Siang (Kota Melaka).
Dua Rang Undang-Undang Persendirian yang dibentangkan oleh Ngan Siong
Hing serta yang dibahaskan dan diundi dalam Dewan Rakyat pada Isnin, 24
Oktober 1977, ialah Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda
Ordinan Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan Perusahaan, 1967 dan
Rang Undang-Undang Persendirian untuk mewujudkan Akta Melindungi
Pekerja-Pekerja dan Gaji Minima, 1977.
Rang Undang-Undang Persendirian yang dibentangkan oleh Lim Kit Siang
serta yang dibahaskan dalam Dewan Rakyat pada Isnin, 24 Oktober 1977,
ialah Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta Biro Siasatan
Negara, 1973. Perbahasan dan pengundian ke atas Rang Undang-Undang
Persendirian ini diteruskan pada Selasa, 25 Oktober 1977.
Walaupun Tony Pua, yang dilahirkan pada 1 Ogos 1972, baru berusia
lima tahun pada waktu itu, sangat pelik jika beliau, sebagai Setiausaha
Publisiti DAP, tidak mempunyai team penyelidik. Lebih pelik lagi bila
Lim Kit Siang, salah seorang Ahli Parlimen DAP yang mengemukakan Rang
Undang-Undang Persendirian itu yang pada waktu ini adalah Ketua Ahli
Parlimen DAP, tidak berbuat apa-apa untuk membetulkan Tony Pua.
Lebih teruk lagi jika Lim Kit Siang sendiri sengaja menyembunyikan
fakta beliau pernah dibenar untuk membentangkan Rang Undang-Undang
Persendirian dalam Dewan Rakyat. – HARAKAHDAILY
* Penulis ialah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan