Ahad, 9 April 2017

RAFIZI PERLU BUAT PENDEDAHAN SEBELUM MUKTAMAR PAS 28 APRIL .

shahbudindotcom 

Selepas Akta 355 semakin disedari tidak lebih sekadar alat permainan kerana ia hanya dibentang separuh jalan dan sengaja dibiarkan tergantung sehingga Julai dan Ogos depan, perkara yang paling ditunggu-tunggu ramai sekarang tentunya mengenai pendedahan Rafizi Ramli tentang adanya individu yang rapat dengan pemimpin Pas turut menerima dana 1MDB daripada Najib Razak.

Rafizi, malah berjanji akan mendedahkan nama individu tersebut dalam minggu-minggu seterusnya, malah mengatakan ia juga dalam pengetahuan SPRM.

Selepas Sarawak Report dan Husam Musa membuat pendedahan tentang Pas dan menerima wang tunai daripada Najib dan sehingga ini tertangguh-tangguh lagi untuk diambil tindakan saman terhadap kedua-dua pihak itu, Rafizi menjadi pihak yang ketiga berbuat demikian.

Menelusuri rekod Rafizi dalam membuat pendedahan sebelum ini, Pas seharusnya berjaga-jaga dan wajar mula berasa bimbang. Rafizi tidak akan bercakap jika tiada fakta atau bukti dalam tangannya.

Lihat bagaimana beliau mendedahkan mengenai lembu NFC yang dikaitkan dengan Shahrizat Jalil dan pembelian kondo daripada dananya, 1MDB, perbelanjaan majlis pertunangan anak perempuan Najib, kemewahan Rosmah Mansor dan pelbagai lagi.

Jika dapat didedahkan bukti mereka yang rapat dengan pemimpin Pas tiba-tiba menerima wang yang banyak daripada Najib, ia sudah tentu merupakan malapetaka yang amat memalukan. Tujuan dan niat wang tersebut diberikan akan menimbulkan banyak persoalan.

Tidak mungkin individu terbabit menerima wang tanpa sebab daripada Najib dan tidak mungkin juga Najib suka-suka hari bersikap murah hati.

Dalam hal ini, Rafizi wajar menimbang untuk membuat pendedahan tersebut sebelum Muktamar Pas yang akan berlangsung pada 28 April ini. Ia bagi tujuan mencelikkan ahli dan perwakilan Pas seluruh negara yang akan memilih barisan kepimpinan terbarunya dalam muktamar di Kedah itu nanti.

Menjelang muktamar ini, pimpinan Pas sedang bernyanyi-nyanyi gembira dengan kejayaan usul persendirian Hadi berjaya dibentangkan seolah-olah ia merupakan kemenangan besar yang pasti syurga sebagai habuannya.

Walaupun amat mudah untuk difahami realiti dan permainannya, mereka enggan menerima hakikat bahawa tindakan membiarkan Akta 355 terus tergantung tidak lain kerana Najib jelas tersepit dan berada dalam dilema antara mengharapkan sokongan Pas dengan kehilangan kepercayaan rakan-rakan komponen BN sendiri.

Dengan terus membiarkan ia tergantung, kemungkinan pilihanraya akan diadakan sebelum sidang Parlimen 24 Julai akan datang atau mungkin juga perbahasan akan terus ditangguhkan lagi untuk memberi laluan pilihanraya diadakan dahulu. Yang jelas, Najib tidak mungkin berani sampai ke peringkat berlakunya perbahasan dan pengundian.

Jadi, mengadakan pilihanraya sebelum perbahasan adalah jalan selamat bagi Najib untuk mendapatkan sokongan Pas dan dalam masa yang sama tidak hilang kepercayaan daripada rakan-rakan komponen BN.

Tetapi, jika Rafizi dapat menyegerakan pendedahannya yang ditunggu-tunggu itu, Pas akan mati langkah dibuatnya. Hubungan mesra dan berkawan baik dengan Najib serta tidak tidak lagi memusuhi UMNO, ada makna rupa-rupanya.

Bagi pemimpin dan parti yang mengaku memperjuangkan Islam, berkawan dan berdamping dengan pencuri, penyamun serta kleptorat saja sudah dianggap sesuatu yang janggal serta durjana, apa lagi jika terbukti turut selesa dan tidak merasa berdosa menerima wang daripada mereka.

Ia akan menyerlahkan bahawa di sebalik bait-bait kata perjuangan dan cemuhan kepada mereka yang mempertikaikan Akta 355 seperti gugur akidah, puasa dan sembahyang tak diterima serta layak ditanam dijirat Cina, syurga dunia nyata lebih memukau dan menggoda untuk ditolak begitu saja.

Setidak-tidaknya pendedahan Rafizi yang ditunggu-tunggu itu adalah satu sumbangan untuk menyelamatkan negara ini daripada golongan yang pandai menjual bangsa dan menggadai agama daripada terus bermaharajalela serta berkuasa.




Tiada ulasan: