Selasa, 11 April 2017

Idris persoal tindakan Mahfuz 'serang' Hashim

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS mempersoalkan tindakan Datuk Mahfuz Omar yang membidas Mursyidul Amnya sebagai merosakkan imej parti. 
 
Sambil 'memulangkan paku buah keras', Naib Presiden PAS, Idris Ahmad mempersoalkan kembali tindak tanduk Ahli Parlimen Pokok Sena itu sebelum ini yang bertentangan dengan pendirian parti. 
 
"Tindakan yang dibuat itu betul ke? Boleh membentuk persepsi yang baik untuk PAS atau tidak?," soalnya ketika dihubungi Antarapos.
 
Mahfuz semalam mendakwa Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin merosakkan imej PAS pada pandangan umum.
 
Ia ekoran kenyataan Hashim bahawa beliau tidak lagi dianggap ahli PAS selepas mengambil tindakan bertentangan dengan parti, termasuk menyertai ceramah anjuran Amanah.
 
Mahfuz juga menyerang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang 'mendiamkan diri' berhubung penangguhan sesi perbahasan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) atau Akta 355 oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada minggu lalu.
 
PAS, menurut Hashim bakal mengenakan tindaan terhadap Mahfuz sebelum sidang Dewan Rakyat akan datang.
 
Perkara itu tidak disenangi Mahfuz dengan mendakwa Hashim tidak perlu masuk campur dan sebarang prosedur tindakan perlu dilakukan menerusi Jawatankuasa Disiplin dan Jawatankuasa PAS Pusat.
 
Bukan itu sahaja, Mahfuz yang dilihat mesra dengan pimpinan Amanah dan DAP juga mendakwa tidak dimaklumkan muktamar parti yang akan diadakan pada penghujung bulan ini, selain menambah tidak mendapat makluman rasmi berhubung perkara itu.
 
Idris secara sinis mengulas perkara itu.
 
"Sepatutnya dia tahu, seluruh dunia pun tahu.
 
"Ahli-ahli boleh datang sebagai pemerhati, tidak ada masalah," tegasnya.
 
 

Tiada ulasan: