Rabu, 7 September 2016

Selangor anjur festival rakyat, medium perkenal program MES

OLEH ERMIZI MUHAMAD


SHAH ALAM: Festival rakyat, Selangor Feast 2016 dianjurkan ke seluruh negeri membabitkan enam pihak berkuasa tempatan (PBT) bakal diadakan, bermula September hingga Disember ini.

Program di bawah gerak kerja, Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau itu dilaksanakan sebagai inisiatif memperkenalkan program Merakyat Ekonomi Selangor (MES) kepada rakyat seluruh negeri.

“Penganjurannya juga bertujuan memupuk semangat muhibah masyarakat setempat dengan PBT serta memperkenalkan produk Kerajaan Negeri kepada rakyat.

“Kita juga mahu mewujudkan peluang ekonomi masyarakat setempat serta membantu golongan muda dan masyarakat kurang bernasib baik menerusi bantuan juga sumbangan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

IMG_0674

Katanya, penganjuran itu turut memfokuskan pameran daripada agensi kerajaan, syarikat milik Kerajaan Negeri dan badan bukan kerajaan (NG0).

Festival itu juga bakal dimeriahkan dengan persembahan selebriti tempatan dan artis budaya PBT seluruh Selangor bagi menarik golongan muda untuk turut sama memeriahkan program tersebut.

“Program ini tidak mencakupi aspek politik kerana sasaran kita untuk menghidupkan ‘mood’ karnival kepada pengunjung. Kita berharap rakyat memahami usaha Kerajaan Negeri untuk terus memperkenalkan pelbagai program dan produk kita demi kebajikan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan itu, penganjuran festival berkenaan disokong sepenuhnya Usahawan Koperasi Selayang Berhad menerusi penglibatan 60 sekretariatnya di setiap lokasi karnival.

Dijangka, sejumlah peruntukan RM180,000 diperuntukan Usahawan Koperasi Selayang Berhad bagi penganjuran festival di setiap lokasi.

Festival bermula di Pantai Bagan Lalang (Majlis Perbandaran Sepang) pada 16 hingga 18 September, Stadium Kajang (Majlis Perbandaran Kajang), 27 hingga 30 Oktober dan Stadium Pandaramaran (Majlis Perbandaran Klang), 24 hingga 27 November ini.

Seterusnya, festival itu diadakan di Padang Awam Batu Caves (Majlis Perbandaran Selayang), 24 hingga 27 November ini sebelum kemuncak program di Stadium Shah Alam (Majlis Bandaraya Shah Alam) pada 26 Disember hingga 1 Januari 2017.

Tiada ulasan: