Ahad, 11 September 2016

RoS sedia pertimbang permohonan baru blok pembangkang

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bersedia untuk mempertimbangkan permohonan pendaftaran baru blok pembangkang untuk menggunakan satu logo pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
 
Namun menurut Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Razin Abdullah, permohonan itu hendaklah diisi dengan lengkap mengikut syarat yang ditetapkan badan itu.
 
"Sekarang terdapat perubahan dari segi nama itu sendiri dan kedudukan ketua-ketua parti sudah berubah, jadi kena kemukakan permohonan yang baru. 
 
"Proses yang sama dan kita akan mempertimbangkan melalui prosedur biasa," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Malah katanya, RoS setakat ini belum menerima apa-apa permohonan baru daripada blok pembangkang mengenai penggunaan satu logo pada PRU akan datang.
 
Kelmarin, Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa parti-parti pembangkang bertanding dibawah satu logo pada PRU akan datang.
 
Gesaan ini timbul ekoran parti baru seperti Amanah dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) belum begitu popular dalam senarai parti politik yang ada di Malaysia.
 
Dalam pada itu Mohammad Razin menjelaskan berhubung penolakan permohonan Pakatan Rakyat (PR) yang kini dikenali sebagai Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, disebabkan maklumat yang disertakan tidak lengkap.
 
"Permohonan ini ada beberapa (perkara) yang tidak lengkap dan maklumat yang kita tidak disertakan jadi permohonan itu kita (RoS) tidak dapat pertimbangkan pada masa itu. Bila kita minta maklumat lanjut, perkara itu tidak dikemukan kepada kita.
 
"Permohonan kena ada senarai lengkap ahli jawatankuasa, lambang (gabungan), ahli jawatankuasa penaja. Sama seperti permohonan pendaftaran parti baru. Tapi ini atas nama gabungan seperti Barisan Nasional (BN) juga," katanya lagi.
 
Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim pernah membuat permohonan pertama gabungan pembangkang bagi mendapat kebenaran RoS, namun permohonan tersebut terbatal secara automatik apabila beliau bertindak meninggalkan PKR pada November 2010.
 
Sebelum ini, Pengerusi PPBM Tun Mahathir Mohamad turut menyarankan supaya semua parti pembangkang perlu membuat gabungan dalam satu pakatan untuk menentang Umno-BN pada PRU akan datang.
 
Katanya, kegagalan parti-parti pembangkang berbuat demikian menyebabkan mereka gagal menjatuhhan Umno BN sejak 59 tahun yang lalu.
 
 

Tiada ulasan: