Sabtu, 3 September 2016

GST punca harga barang naik, orang miskin tidak mampu beli makanan berkhasiat

Pelaksanaan GST menyebabkan kenaikan harga barangan serta makanan dan pengguna yang perlu menanggung kesannya. 


elitmway_gst_600


KUALA LUMPUR: Pemborong dan peruncit menyalahkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015 sebagai punca kenaikan harga barangan sehingga menyebabkan golongan miskin tidak mampu membeli makanan berkhasiat.

Pegawai komunikasi Elitway Sdn Bhd yang membekalkan bahan makanan mentah dan kering, Hanafi Talib berkata, pengguna tidak boleh menyalahkan pemborong kerana harga barangan mengalami kenaikan bermula di peringkat pengilang lagi.

“Sejak pelaksanaan GST, semua barang memang naik harga. Kami sebagai pemborong memang boleh claim (tuntut balik), jadi tidak terkesan sangat. Kesannya memang pada pengguna.

“Contohnya tepung. Kami ambil dari pengilang sekotak berharga RM13, pemborong jual RM13.20. Untung 20 sen sahaja. Kalau ikutkan, kami hendak bayar kos penghantaran termasuk minyak, tol dan gaji pekerja lagi, apa yang kami untung?

“Berniaga zaman sekarang dah tak macam dulu. Segalanya memang sudah naik,” katanya yang ‘lali’ dengan rungutan peruncit dan pengguna ketika dihubungi FMT hari ini.

Hanafi berkata, ‘perkhidmatan orang tengah’ yang meraih keuntungan besar juga tidak wujud lagi sekarang dan beliau tidak menyalahkan pengilang dalam isu kenaikan harga barangan.

“Bagi sektor ayam dan daging, itu kena tanya penternak. Mereka bagi alasan dedak pun dah naik harga. Harga ayam sejak Hari Raya Aidilfitri belum turun lagi,” katanya yang masih menunggu penurunan harga ayam diumumkan kerajaan.

Mohd Annuar Mohd Saman yang mewakili peruncit Desa Subang juga bersetuju pelaksanaan GST adalah punca kenaikan ketara harga bahan mentah, khasnya makanan berkhasiat.

“Untuk penjualan makanan berkhasiat, sebelum ada GST pun dah mahal, apa lagi selepasnya,” katanya sambil menambah hanya individu berkemampuan boleh membeli makanan organik.

Beliau turut menggesa kerajaan melakukan pemantauan berterusan untuk menghalang pemborong dan pembekal menaikkan harga bahan mentah sesuka hati.

Selasa lalu, Institut Kajian Khazanah (KRI) dalam laporan terbaharu keadaan isi rumah yang dipetik Astro Awani menunjukkan makanan kekal sebahagian besar perbelanjaan kebanyakan keluarga dengan kadar kenaikan harga makanan berada di tahap membimbangkan.

Keadaan itu menyebabkan lebih banyak isi rumah berpendapatan rendah tidak lagi mampu membeli makanan khasiat disebabkan kos makanan yang semakin tinggi, di mana harga makanan laut dan ikan meningkat sehingga 30.9%, produk tenusu serta telur 23% manakala daging pula naik sehingga 18.7%.

Kaji selidik mengenai keselamatan makanan di kalangan isi rumah berpendapatan rendah di Kuala Lumpur menunjukkan lebih 65% keluarga menghadapi masalah untuk mendapatkan makanan berkhasiat.

Menurut laporan itu, sebuah isi rumah dengan lima ahli keluarga minimum akan membelanjakan RM25.21 hingga RM38.45 setiap hari untuk mendapatkan diet berkhasiat.

Tiada ulasan: