Khamis, 1 September 2016

DAPSY gesa polis henti ancam anak muda, fokus tangkap MO1

dang wangi

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis menyiasat perhimpunan aman #TangkapMO1 anjuran mahasiswa yang diadakan pada Sabtu 27 Ogos lalu.

Ketua DAPSY Selangor, Teh Hoong Keat berkata beliau tidak faham mengapa anak muda yang mahu menuntut keadilan demi negara pula diambil tindakan sedangkan ‘Malaysian Official 1’ yang didakwa merompak wang rakyat masih dibiarkan bebas.

Beliau turut mempersoalkan tindakan polis melengahkan siasatan ke atas ‘Malaysian Official 1’ walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan telah mengesahkan bahawa individu itu merupakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam wawancaranya dengan BBC baru-baru ini.

“Kita menyeru agar pihak polis berhenti menzalimi anak muda. Perbuatan polis yang hanya menurut perintah pihak atasan di Putrajaya juga harus dikecam. Mereka sepatutnya menggunakan masa dan sumber yang ada untuk menyiasat MO1,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Pimpinan mahasiswa yang terlibat dalam penganjuran #TangkapMO1 seperti Anis Syafiqah, Luqman Hakim dan Aqilah Zainuzi telah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pagi tadi berhubung himpunan tersebut.

Pada masa sama, pemimpin politik yang hadir ke himpunan berkenaan termasuk Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong serta Ketua Angkatan Muda Keadilan Nik Nazmi turut dipanggil polis.

Himpunan #TangkapMO1 di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu diadakan bagi menggesa pihak berkuasa seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara menyiasat serta menangkap individu yang digelar sebagai ‘Malaysian Official 1’.

‘Malaysian Official 1’ disebut sebanyak 36 kali dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) lebih satu bulan lalu sebagai individu yang terlibat dengan kecurian dana syarikat milik Kementerian Kewangan, 1MDB bagi kepentingan pihak tertentu. – Roketkini.com


Tiada ulasan: